itmetro

Elak jadi 'korban' awal

Oleh Muhammad Saufi Hassan

WALAUPUN permainan PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBG Mobile) sudah agak lama berada di Playstore atau Apple Store dan mendapat bilangan muat turun melebihi 100 juta, masih belum terlewat untuk pemain baru ‘terjebak’ dengan fenomena itu.

Buat pemain yang masih baru dalam senario permainan itu, ada beberapa perkara yang perlu diketahui untuk kekal lebih lama dalam permainan dan tidak menjadi ‘korban’ awal kepada pemain lain.

Namun, sama ada anda pemain jenis yang suka merebut senjata terbaik atau memilih pendekatan untuk lebih bermain secara taktikal dan menyerang ketika perlu saja.

Dalam ruangan minggu ini, IT@Metro cuba memberikan sedikit tip bagi pemain baru untuk genre permainan itu dan ada beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum anda benar-benar mahu menjadi pemain PUBG Mobile berjaya.

Mod permainan ‘Battle Royale’ ini memerlukan pemain lebih berhati-hati dan mengambil kira kelebihan yang ada di setiap peta termasuk licik menyusup daripada satu bangunan ke bangunan lain.

1. Pilih lokasi mendarat yang betul

Sama seperti PUBG yang menggunakan platform PC, versi Mobile juga pemilihan lokasi pendaratan sangat penting.

Pemain perlu melihat kelebihan di setiap peta dan memilih lokasi bangunan yang kurang menjadi daya tarikan pemain lain supaya memberi kelebihan masa mencari apa juga senjata serta peralatan diperlukan.

Pemain juga perlu terjun daripada kapal terbang seawal mungkin, namun memilih lokasi pendaratan yang dirasakan kurang menjadi tarikan pemain lain. Jangan melengahkan masa mencari peralatan terutama senjata dan kit nyawa.

Sebaik saja pemain melakukan terjunan, perhatikan pemain lain dan lokasi mereka berkumpul supaya mudah melakukan strategi ketika mendarat.

Terjunan yang dilakukan perlu mempunyai objektif dan tidak membiarkan pemain melakukan terjunan bebas tanpa sebarang tujuan kerana keadaan itu memberi kelebihan kepada pemain lain.

2. Cari peralatan dulu terutama senjata utama

Pemain baru mungkin tidak biasa dengan konsep permainan yang diketengahkan. Namun, strategi kedua yang penting adalah mencari peralatan terlebih dulu sebelum berperang dengan pemain lain.

Sebaik mendarat, anda perlu berlari mencari peralatan, peluru, baju kalis peluru dan senjata utama yang sesuai dengan corak permainan.

Ini akan memberi kelebihan kepada pemain tanpa melengahkan masa mencari musuh dan sebaiknya, cari peralatan atau set kelengkapan yang sesuai dengan gaya permainan.

Bagi peringkat awal permainan, strategi yang berkesan adalah mengambil apa saja peralatan yang ada dan selepas itu baru memilih mengikut kesesuaian jika menemui peralatan lebih baik.

Ini mengelakkan pemain terperangkap ketika berperang dengan pemain lain yang mempunyai set kelengkapan jauh lebih baik.

3. Tembak jika musuh dalam sasaran

Kebiasaannya, bagi pemain baru mereka mudah menembak musuh walaupun jarak agak jauh dan tindakan ini mendedahkan kedudukan sekali gus menarik perhatian pemain lain.

Ini adalah kesalahan yang biasa dilakukan pemain ‘Noob’ yang baru bermain mod permainan itu.

Strategi terbaik adalah hanya melepaskan tembakan ketika musuh berada dalam jangkauan jarak menembak yang efektif supaya setiap tembakan itu memberi kesan maksimum.

Pemain juga perlu tahu jarak tembakan - adakah senjata yang digunakan adalah raifal tempur, senapang patah atau hanya pistol. Ketiga-tiga senjata ini mempunyai jarak tembakan efektif yang berbeza malah setiap senjata itu mempunyai kelebihan masing-masing.

4. Perhatikan peta dan peka dengan keadaan

Bagi pemain baru, mereka mengambil masa seketika untuk memahami senario setiap peta dan lokasi yang bagus untuk bersembunyi serta menanti kehadiran musuh.

Strategi berikutnya perlu diambil perhatian adalah sentiasa memerhatikan peta dan berada dalam lingkungan ‘bulatan keselamatan.’

Bulatan itu mempunyai tempoh tersendiri dan semakin lama pemain berada dalam permainan, bulatan itu semakin mengecil.

5. Sembunyi dan mengintip

Ini antara strategi paling utama jika ingin menjadi ‘pemain terakhir’ di dalam PUBG. Langkah mudah adalah memilih lokasi berumput, mempunyai pokok yang agak tinggi dan bersembunyi di lokasi berkenaan.

Sementara itu, pemain perlu mengintip keadaan sekeliling dan struktur muka bumi yang tinggi berbanding lokasi lain akan memberi kelebihan kepada pemain untuk melihat pemain lain yang sedang berlari ke lokasi lain.

Keadaan itu adalah maklumat berharga supaya pemain dapat merangka strategi yang lebih terperinci. Selain itu, jika pemain adalah seorang yang cekap menggunakan raifal jarak jauh, ia adalah peluang keemasan mendapatkan gelaran ‘Winner Winner Chicken Dinner.’

6. Berkomunikasi dengan pasukan

Jika anda bermain dalam pasukan, pastikan menggunakan komunikasi berkesan supaya setiap anggota pasukan mengetahui kedudukan musuh.

Selain itu, strategi terbaik adalah setiap rakan di dalam pasukan perlu berada dalam jarak sederhana dan tidak berkumpul di suatu tempat untuk mengelakkan anda menjadi sasaran mudah kepada penembak tepat.

Jarak sederhana itu memudahkan pergerakan pasukan, malah memberi kelebihan jika ada rakan anda terlihat musuh dan maklumat itu disampaikan menerusi komunikasi.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 1:12pm
d