itmetro

Kamera 48MP tarikan utama

Oleh Muhammad Saufi Hassan

RAMAI gemar mengambil gambar sama ada dalam cahaya terang atau malam, tapi berhadapan kesukaran mendapatkan imej berkualiti terutama dalam keadaan pencahayaan yang kurang.

Ini mungkin masalah biasa bagi pemilik telefon pintar yang suka mengambil gambar terutama ketika suasana kelam tanpa pencahayaan mencukupi.

Kebanyakan kamera biasa tidak mampu menghilangkan ‘noise’ dalam gambar akibat kurang cahaya bagi menyokong kamera yang terbina di dalam telefon pintar.

Bagaimanapun, keadaan itu mungkin tidak berlaku lagi jika kamera telefon pintar mereka memiliki kadar megapixel (MP) yang tinggi selain kamera terbina itu mampu memberi gambar yang jelas serta mengurangkan sudut kabur dalam gambar.

Untuk semua masalah itu, telefon pintar terbaru keluaran HONOR adalah jawapan kepada individu yang suka mengambil gambar tidak mengira masa atau tempat.

Model terbaru telefon pintar itu iaitu HONOR View20 adalah jawapan kepada semua masalah berkenaan apabila telefon pintar ini memiliki kamera 48MP dan mampu beroperasi dengan baik walaupun berdepan dengan suasana kurang pencahayaan.

Pada pandangan pertama, hampir mustahil tidak melihat bulatan hitam ‘punch hole’ yang terletak di sudut kiri atas skrin paparan telefon pintar berkenaan.

Uniknya, HONOR mampu mencipta skrin paparan ‘berlubang’ dan keadaan itu tidak mengganggu prestasi telefon pintar itu sebaliknya memberi daya penarik selain dilengkapi kamera berkuasa tinggi.

Skrin paparan berlubang itu sangat kecil hinggakan tatkala pengguna menggunakan View20, rekaan paparan berlubang itu tidak memberi impak negatif kepada operasi sebaliknya menambahkan nilai kosmetik kepada produk terbaru HONOR.

Skrin paparan berlubang itu juga mempunyai kamera depan yang mempunyai 25MP dan peranti ini adalah telefon pintar pertama menggunakan kamera paling kecil namun berkuasa.

Pengeluaran produk terbaru HONOR bukan saja menampilkan kuasa kamera saja sebaliknya hampir keseluruhan pembinaan peranti ini sangat kukuh dari aspek teknologi.

Jika sesebuah peranti itu dilengkapi dengan kamera yang baik, namun tidak mempunyai sistem peranti mampu menyokongnya, ia pasti memberi masalah terutama isu prestasi.

Namun, keadaan itu tidak terjadi bagi View20 kerana peranti ini dilengkapi dengan pemproses Kirin 980 selain memori 8GB supaya memastikan kelancaran peranti terbabit.

Bagi peranti View20, HONOR berjaya meletakkan produknya dalam kelas tersendiri apabila kualiti rekaan dan binaannya setanding dengan beberapa produk keluaran syarikat gergasi lain.

Produk ini juga mempunyai pengimbas cap jari yang terletak di belakang dan kamera peranti ini turut dilengkapi Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu disesuaikan dengan apa saja keadaan.

View20 mampu merakam gambar dalam resolusi yang jelas dan terperinci serta mengurangkan kekaburan terutamanya ketika suasana kurang pencahayaan atau waktu malam.

Spesifikasi

• Pemproses: Kirin 980 (Octa-Core)

• RAM: 8GB / 6GB

• Bateri: 4,000 mAH

• Pengecas: USB Type C (Pengecas cepat)

• Storan: 256GB / 128GB

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 1:34pm
d