itmetro

Sila naik taraf sistem operasi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEPADA pemilik komputer yang masih menggunakan sistem operasi versi Window 7, boleh memikirkan untuk menaik taraf sistem operasi anda apabila Microsoft mengumumkan untuk menghentikan versi berkenaan.

Berdasarkan laporan Kitaran Hidup Sistem Operasi Window yang dikeluarkan baru-baru ini mendedahkan Microsoft bakal menghentikan sebarang jenis penyelenggaraan untuk versi berkenaan pada Januari tahun depan.

Keputusan Microsoft itu bukan saja membabitkan versi Window 7, tetapi turut menghentikan versi Window 8.1 dan pengguna hanya mempunyai pilihan untuk menggunakan versi Window 10 saja.

Tindakan terbaru Microsoft itu menimbulkan sedikit keresahan kepada segmen pengguna yang masih menggunakan versi Window berkenaan walaupun syarikat itu sudah membuktikan versi Window 10 jauh lebih stabil.

Keputusan Microsoft itu dipercayai berkait rapat dengan objektif untuk mempunyai satu bilion jenis peranti yang menggunakan Window 10. Bagi mencapai sasaran berkenaan, tindakan paling relevan adalah menghentikan kemas kini teknikal dua versi Window terdahulu.

Bagaimanapun, pengguna versi Window 7 tidak perlu bimbang apabila syarikat berkenaan masih meneruskan penyelenggaraan teknikal dari semasa ke semasa sehingga 14 Januari 2020 kelak.

Penyelenggaraan teknikal itu termasuk kemas kini keselamatan, pembetulan pepijat dan beberapa kemas kini untuk membolehkan versi berkenaan stabil.

Microsoft juga sudah mengkategorikan Window 10 sebagai ‘pembaharuan pilihan’ sebelum tarikh tamat untuk dua versi itu dan menukarkan semula kepada ‘pembaharuan disyorkan.’

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 1:47pm
d