itmetro

Bina sut exo lawan raksasa

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PASTI semua peminat sukan permainan elektronik (eSport) menantikan judul permainan ‘Anthem’ yang dibangunkan Bioware dan diterbitkan gergasi syarikat permainan Electronic Arts atau EA.

Anthem bakal diterbitkan 22 Februari depan, namun pengeluar permainan itu EA, sudah melancarkan permainan prebiu pada minggu ini untuk menghangatkan lagi sambutan ketika pelancarannya beberapa minggu lalu.

Penulis mendapat prebiu khas permainan itu dan cuba merasai sendiri antara permainan yang mendapat perhatian umum terutama ketika EA serta Bioware mempertontonkan prebiu khas beberapa bulan lalu.

Menyentuh jalan cerita permainan ini, penulis tidak mengetahui secara terperinci latar tempat memandangkan pihak Bioware masih merahsiakannya dan dalam prebiu permainan pula ia tidak didedahkan secara terperinci.

Bagaimanapun, jalan cerita Anthem bermula di sebuah planet yang dipenuhi teknologi futuristik yang ditinggalkan sekumpulan makhluk lama dipanggil The Shapers.

Planet itu juga mempunyai sumber kuasa luar biasa yang dikenali sebagai ‘Anthem of Creation’, namun pembina (The Shapers) tidak menamatkan pembinaan mereka dan didapati hilang tanpa dikesan.

Biarpun ditinggalkan tanpa disiapkan sepenuhnya, teknologi itu berkembang sendiri dan berevolusi sehingga mengancam kehidupan manusia sehingga memaksa mereka berlindung di sebalik dinding dikenali Fort Tarsis.

Bermula daripada krisis berkenaan, jalan cerita dan plot permainan Anthem berkembang sehingga kehidupan manusia yang terancam membina sebuah sut exo dikenali ‘Javelins’ untuk melawan raksasa dan mengembalikan planet berkenaan kepada keadaan asal.

Pemain boleh memilih empat jenis sut exo javelin yang dibahagikan mengikut gaya permainan. Mereka boleh memilih antara sut kelas Ranger, Colossus, Storm dan Interceptor.

Setiap sut itu mempunyai tiga slot peralatan, dua slot senjata dan enam slot komponen yang boleh diisi mengikut misi, kesesuaian permainan dan keperluan kerosakan untuk sesuatu misi.

Bagi sut exo Javelin jenis Ranger, ia adalah sut paling versatil dalam permainan ini dan mampu mengadaptasi sebarang bentuk misi dan permainan.

Sut exo Colossus pula, ia adalah sut paling besar dan sangat sesuai untuk pemain yang gemar bermain secara ‘roburst’ serta sut ini memberikan nilai kerosakan yang paling tinggi bermain sut javelin yang lain.

Selain itu, pemain juga boleh memilih sut kelas Interceptor. Sut jenis ini adalah paling kecil antara empat kelas javelin, namun sangat lincah dan sesuai melakukan pembunuhan secara senyap.

Terakhir adalah sut exo kelas Storm. Ia adalah sut jenis elemen yang mampu melancarkan nilai kerosakan yang tinggi, namun sut ini sesuai bagi pertempuran jarak jauh.

Pemain juga boleh melakukan pemilihan dan ubah suai terhadap karakter selepas memilih jenis sut yang dirasakan sesuai dengan corak permainan yang diinginkan.

Bagi penulis, sut exo Javelin jenis Colossus adalah sesuai memandangkan penulis lebih gemar bertempur dalam jarak dekat dan masuk dalam kawanan musuh yang ramai tanpa perlu bimbang akan terkorban.

Beberapa minit pertama dalam Anthem, penulis kagum dengan kelicinan grafik dan kesan khas yang sangat terperinci tambahan pula jika anda menggunakan set komputer dilengkapi dengan kad grafik berprestasi tinggi.

Jalan cerita permainan ini agak mudah untuk difahami dan lebih jelas dalam setiap misi. Penulis juga merasakan pemilihan sut exo juga sangat penting kerana ia mempengaruhi permainan secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, penulis merasakan Anthem umpama ‘kembar’ kepada permainan Destiny 2 daripada mekanikal permainannya dan ia hampir sama dengan judul berkenaan.

Secara tidak langsung, kepada penggemar Destiny mungkin judul Anthem ini menarik perhatian anda, namun kepada pengkritiknya, penulis merasakan ia satu kerugian buat Anthem apabila konsep antara kedua judul itu hampir sama.

Namun, secara jujur Anthem adalah sebuah permainan yang baik daripada keseluruhannya dan mungkin pembangun permainan ini akan melakukan tambah baik saat akhir sebelum dilancarkan untuk versi penuh pada Februari depan.

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 11:20am
d