itmetro

Peranti berkuasa, mampu milik

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JENAMA telefon pintar ini mungkin baru dalam pasaran, namun kemampuan peranti di samping tawaran spesifikasinya mampu menjadi daya penarik kepada pengguna yang mahukan sebuah peranti berkuasa dan mampu milik.

Dikuasakan dengan pemproses kelas pertengahan Qualcomm SDM660 Snapdragon 660 (14 nm) dan didatangkan dengan dua varian memori iaitu storan 64GB untuk 6GB RAM manakala varian tinggi pula menawarkan storan 128GB dengan 8GB RAM.

Untuk peranti pula boleh didapati dengan harga RM849 menjadikan telefon pintar ini mampu untuk dimiliki setiap lapisan masyarakat tanpa mengabaikan spesifikasinya.

Kebiasaannya, peranti yang menawarkan harga yang murah akan mengurangkan kekuatan spesifikasinya seperti menggunakan pemproses kelas rendah dan memori hanya 4GB saja.

Keadaan itu mengakibatkan peranti mengalami masalah lambat untuk melancarkan sesuatu aplikasi sehingga kepada isu yang lebih serius apabila telefon kerap kali mengalami kerosakan perisian (crash).

Bagaimanapun, bagi peranti keluaran Realme untuk model Realme 2 Pro, masalah itu seperti tidak wujud apabila jenama berkenaan mengeluarkan telefon pintar mampu milik tanpa mengabaikan prestasinya.

Peranti jenis ini yang mempunyai dimensi 156.7 x 8.5 milimiter (mm) dan seberat 174 gram (g) adalah jawapan kepada semua permasalahan jika pengguna mahukan telefon yang berada dalam kelas pertengahan, namun menawarkan harga mampu milik.

Kekuatan peranti ini menawarkan spesifikasi pertengahan dan menjanjikan kelancaran sebarang aplikasi. Paling utama adalah harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding beberapa jenama terkemuka yang mempunyai spesifikasi hampir sama.

Secara fizikalnya, peranti ini menggunakan kerangka badan plastik dan menggunakan skrin paparan teknologi IPS untuk menghasilkan imej yang lebih berkualiti.

Kamera utama pula mempunyai dua lensa beresolusi 16 megapiksel (MP) manakala kamera swafoto turut beresolusi 16MP dan mampu untuk merakam video 1080p dalam 30 bingkai sesaat (FPS).

Penulis berpeluang mencuba peranti ini dan secara keseluruhannya, ia sebuah telefon pintar kelas pertengahan yang sangat baik dengan penawaran harga begitu murah.

Realme juga tidak mengabaikan aspek spesifikasinya walaupun harga ditawarkan adalah jauh lebih rendah berbanding jenama lain.

Jika anda mahukan sebuah peranti yang memiliki harga yang murah, spesifikasi pertengahan yang mampu melancarkan apa saja aplikasi tanpa sebarang masalah dan kemampuan kamera yang baik, Realme adalah jawapan paling sesuai.

Bateri peranti ini dilengkapi 3,500 mAH mampu untuk menampung prestasinya sepanjang hari tanpa perlu bimbang untuk mengecas.

Sepanjang penulis menggunakan telefon pintar Realme 2 Pro ini, tiada masalah daripada sudut prestasi dan sebarang aplikasi mampu untuk dilancarkan dengan baik.

Walaupun jenama ini mungkin baru bagi segmen telefon pintar, Realme mempamerkan sesuatu yang baik dan model Realme 2 Pro adalah telefon mampu dibeli tanpa mengabaikan aspek spesifikasinya.

Realme 2 Pro

• PEMPROSES: Qualcomm Snapdragon 660

• RAM: 4GB/8GB

• STORAN: 64GB/128GB

• KAMERA: Dua lensa 16MP

• VIDEO: 2160p (30 bingkai sesaat)

• HARGA: RM849

Disiarkan pada: January 31, 2019 @ 11:38am
d