itmetro

'Letupan' kelihatan sangat nyata

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SEBUT saja siri permainan Ace Combat, pasti penggemar simulasi peperangan jet pejuang akan mengingati judul permainan ini yang bermula dengan konsol sekitar 24 tahun lalu.

Siri permainan ini sudah memasuki lebih dua dekad sejak ia dilancarkan pada 1995 yang ketika itu dikenali dengan nama Air Combat sebelum siri permainan itu menukar nama kepada Ace Combat.

Bandai Namco Studios kali ini menerbitkan siri terbaru Ace Combat untuk semua platform permainan iaitu Play­station 4, XBOX One dan Microsoft Windows.

Penulis semestinya teruja dengan penerbitan baru siri permainan itu dan meluangkan masa hampir empat jam sebelum komentar ini ditulis dan secara asasnya, Bandai Namco Studios mengekalkan konsep asal siri itu.

Permainan itu menggunakan konsep permainan simulasi jet peperangan dan selepas dua dekad berlalu, Namco Bandai masih meneruskan konsep yang sama.

Bagaimanapun, kesan grafik untuk permainan ini begitu menakjubkan ketika dimainkan dalam desktop penulis yang menggunakan pemproses Ryzen 7 dan dikuasakan dengan kad grafik ASUS Republic Of Gamers (ROG) RTX2080 di samping menggunakan skrin paparan ASUS ROG PG27U yang menyokong resolusi 4K.

Penulis boleh memerhatikan setiap titisan air jika misi berkenaan dilaksanakan ketika hujan dan setiap kali misil dilancarkan, asap peluru berpandu berkenaan jelas kelihatan dengan terperinci.

Kesan letupan pesawat musuh yang terkena misil pemain juga begitu ‘licin’ dan letupan yang berlaku seolah-olah sangat nyata walaupun ia hanya kesan grafik daripada permainan itu.

Namun, penulis sedikit kecewa dengan jalan cerita dan misi kerana kurang perubahan daripada konsep mekanikal permainan dan ia hanya mempunyai satu objektif iaitu memusnahkan apa saja yang tercatat dalam radar.

Penulis sudah bermain semua siri ini dan umpama siri terbaru ini hanya mengalami perubahan daripada aspek grafik, kesan grafik dan mengabaikan plot misi yang penting.

Cuma apa yang menarik adalah Ace Combat terbaru ini menggunakan konsep ‘kunci pokok’ (unlocked tree) iaitu pemain perlu memilih jet mereka dan membelanjakan wang untuk membuka kunci berkenaan.

Setiap peringkat jet itu mempunyai tahap tertentu dan ia juga merangkumi kelengkapan misil, bom dan peluru pintar.

Untuk rekod, siri permainan Ace Combat sudah mempunyai 10 keluaran di konsol sama ada milik Sony Play­station mahupun milik Microsoft XBOX.

Ia tidak termasuk beberapa siri yang dikeluarkan khas untuk peranti Game Boy dan Iphone. Ini menjadikan siri permainan itu antara paling lama pernah berada di pasaran.

Penulis juga tidak ketinggalan mempunyai memori kerana pernah bermain siri simulasi peperangan itu bermula Ace Combat 2 yang dikeluarkan khas untuk Playstation 1 (PS1).

Siri permainan ini antara judul kegemaran penulis kerana ketika itu menampilkan satu konsep permainan yang begitu berbeza kerana pemain menjadi juruterbang dan boleh memilih jet pejuang mereka termasuk kelengkapan misil.

Setiap 10 judul siri permainan itu mempunyai plot serta krisis yang tersendiri daripada peperangan jet dengan jet yang digelar ‘dog­fights’, misi mengawal ruang udara, pengeboman strategik udara ke darat dan terbang di bawah radar.

Itu antara misi yang wajib ada untuk setiap episod yang sememangnya memberi cabaran luar biasa kepada pemain dan peminat pesawat ketenteraan pasti mempunyai memori yang sama dengan penulis.

Kebiasaannya, pemain akan bermula dengan jet kurang sofistikated iaitu jet F-4 Phantom II atau MiG-21 Fishbed sehingga kepada era jet generasi keenam atau ketujuh iaitu F-22 Raptor serta Sukhoi SU-37 Terminator.

Kali ini Bandai Namco Studios sekali lagi me­ngeluarkan siri terbaru iaitu Ace Combat 7: Skies Unknown selepas kali terakhir siri itu diterbit­kan pada 2014 iaitu Ace Combat Infinity yang dicipta khusus untuk Playstation 3.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 9:52am
d