itmetro

Perintis Jalur Lebar Kelajuan Tinggi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SAINGAN untuk memberikan kemudahan Internet berkelajuan tinggi diteruskan apabila YTL Communications Sdn Bhd (YTL Communications) melancarkan program perintis skala besar iaitu Terragraph bagi memberikan sambungan jalur lebar yang baik.

Program perintis skala besar pertama di Asia yang mendapat sokongan Facebook adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk melaburkan dan memajukan infrastruktur digital negara ini.

Ia juga bagi memastikan semua peringkat masyarakat tidak mengira lokasi mampu mengakses Internet jalur lebar dengan harga yang lebih baik di samping berkelajuan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee berkata, pelancaran berkenaan adalah satu kejayaan dalam mencipta teknologi yang diperlukan bagi memenuhi keperluan jalur lebar di negara ini.

“Bermula 1 Mac ini, kami menjangka program perintis berkenaan akan berterusan selama enam bulan dan kami akan meneliti serta mengkaji penggunaan komersial sekali gus memanfaatkan teknologi yang canggih ini.

“Sebagai perintis 4G di negara ini, kami membina dan masih mengusahakan pembinaan jaluran rangkaian 4G tulen terbesar,” katanya.

Beliau berkata, penemuan teknikal dalam menyediakan Internet tanpa wayar Gigabit dengan menggunakan Terragraph adalah pratonton era teknologi 5G.

Program perintis itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di Georgetown, Pulau Pinang awal minggu ini.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 10:14am
d