itmetro

S10 sukar ditewaskan!

Oleh Muhammad Saufi Hassan

BAKAL menjadi telefon pintar terbaik 2019. Itu ringkasan penulis berhubung telefon pintar mercu keluaran Samsung iaitu S10+ yang dilancarkan di San Francisco, Amerika Syarikat hujung bulan lalu.

Samsung Galaxy S10+ ini sukar untuk ditewaskan kerana memiliki ciri utama seperti rekaan fizikal yang sangat elegan dan Samsung bijak memadankan spesifikasi peranti itu.

Kali ini, Samsung melancarkan tiga varian bagi Galaxy S10 iaitu S10e, S10 dan S10+ dan semua varian itu dibezakan menerusi beberapa rekaan fizikal dan spesifikasinya.

Sambung bakal mengadakan siri jelajah bermula 8 hingga 10 Mac di tiga lokasi berbeza iaitu wilayah tengah akan diadakan di Mid Valley Megamall, AEON Tebrau City (Johor Bahru, wilayah selatan) dan Queensbay Mall (Pulau Pinang, wilayah utara).

Sepanjang siri jelajah itu, Samsung menawarkan harga bagi siri S10 bermula RM2,699 hingga RM4,599 dan pengguna yang membeli peranti itu layak menerima pelbagai hadiah eksklusif seperti Galaxy Buds, jam pintar Galaxy Watch Active dan pelbagai lagi.

Sepanjang penulis menggunakan peranti Samsung Galaxy S10+, ciri utama yang bakal menjadi perbezaan adalah paparan berteknologi ‘Dinamik AMOLED’ dan ia skrin terbaik untuk telefon pintar setakat ini.

Ia satu pendekatan yang berbeza bagi Samsung apabila menggunakan skrin jenis Dinamik AMOLED berkenaan dan skrin itu digunakan untuk semua model siri Galaxy S10 termasuk S10e.

Pengguna akan melihat perbezaan paling ketara melalui tona warna pada skrin paparan kerana Dinamik AMOLED ini mampu untuk menghasilkan lebih 16 juta warna berbeza serta menawarkan kecerahan yang sangat luar biasa berbanding telefon pintar keluaran jenama lain.

Peranti terbaru Samsung ini juga menyokong fungsi HDR10+, sekali gus menjadi peranti mudah alih pertama yang menyokong fungsi berkenaan serta menghasilkan rakaman video beresolusi 4K dengan lebih baik.

Paling ketara, penulis sangat kagum dengan teknologi sistem imbasan cap jari biometrik untuk S10+ yang dikenali sebagai pengimbas cap jari ultrasonik.

Samsung bijak menggunakan sistem imbasan terbina di dalam skrin paparan dan kadar tindak balas bacaan imbasan itu juga sangat cepat tanpa ada sebarang masalah seperti pengimbas telefon pintar yang lain.

Selain itu, pastinya pengguna akan lebih tertarik dengan kemampuan kamera sesebuah peranti dan S10+ nyata tidak mengecewakan malah kualiti gambar terhasil begitu baik.

Penulis cuba untuk merakam gambar dalam keadaan pencahayaan yang amat kurang, namun agak mengejutkan apabila imej yang terhasil sangat berkualiti dan kamera siri Galaxy S10 ini mampu beroperasi dalam apa jua keadaan.

Bagi S10+, peranti ini dilengkapi dengan lensa 12 Megapixel (MP) telefoto bagi membolehkan imej objek yang diambil dari jarak jauh tanpa mengurangkan kualiti gambar yang terhasil.

Kamera swafoto juga mempunyai lensa berkembar dan satu lensa bertugas sebagai ‘RGB Depth Sensor’ untuk memastikan gambar terhasil lebih baik mengikut kesesuaian keadaan persekitaran.

Berdasarkan laman penguji kualiti fotografi iaitu DxOMark meletakkan prestasi kamera Samsung Galaxy S10+ sebagai telefon pintar yang mempunyai kamera terbaik dengan perolehan markah 109 secara keseluruhannya.

SAMSUNG S10+

• Pemproses : Exynos 9820 / Snapdragon 855

• RAM : 8GB / 12GB

• Storan : 128GB / 256GB / 512GB - Menyokong kad memori sehingga 1TB

• Paparan : Dinamik AMOLED

• Kamera Swafoto : 10MP + 8MP

• Kamera Utama : 12MP + 12MP + 16MP

• Bateri : 4,100 mAh

• Teknologi : Sistem pengimbas ultrasonik, Corning Gorilla Glass 6, IP68 Water Resistant and Dust, Pengecas Cepat Tanpa Wayar, Pengecas Berkongsi (Powershare dengan peranti lain)

ULASAN PENULIS

1. Prestasi:- 5 / 5

2. Jangka hayat bateri : 4.5 / 5

3. Prestasi permainan (Gaming) : 5 /5 (Fortnite dalam 60 bingkai sesaat)

4. Kualiti kamera: 4.5 / 5

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 9:31am
d