itmetro

Samsung Galaxy M20 dilancarkan esok

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SAMSUNG melancarkan siri pertama Galaxy M dengan kod nama M20 pada harga RM799 dan peranti itu boleh dibeli bermula esok menerusi aplikasi perniagaan dalam talian, Shopee.

Peranti terbaru kelas permulaan itu menawarkan pemproses Exynos 7904 dan disokong oleh memori 4GB dengan jumlah storan 64GB.

Galaxy M20 itu menggunakan skrin paparan 6.3 inci serta dilengkapi dengan kamera utama dua lensa 13 megapixel (MP) dan 5MP sokongan.

Peranti ini juga didatangkan dengan pengimbas cap jari yang diletakkan di bahagian belakang peranti berkenaan dan turut menggunakan jenis pengecas USB-C serta sokongan kepada kad memori MikroSD.

Kapasiti bateri yang dibekalkan adalah 5,000 mAh dan ia mampu untuk kekal bertahan sepanjang hari walaupun menggunakan peranti itu secara optimum.

Selain itu, Samsung bekerjasama dengan Shopee melancarkan produk itu secara rasmi bermula 9 pagi esok dan 1,000 pembeli pertama akan mendapat pelbagai barangan eksklusif termasuk ‘headphone’ Logitech X50 dan JBL T450.

Peminat Samsung juga boleh membeli pelbagai aksesori dengan kadar yang lebih murah dan baucer tunai menerusi aplikasi berkenaan.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 7:07pm
d