itmetro

Sifat ganas didorong diri sendiri

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEMARAHAN diri sendiri, dendam dan kebencian punca utama kepada perbuatan ganas seseorang manakala permainan video yang memaparkan adegan ganas hanya satu daripada faktor.

Pakar Perkembangan Kanak-Kanak, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, sifat ganas itu didorong oleh diri mereka sendiri akibat kebencian dan amarah.

Beliau yang juga pensyarah kaunseling di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) menegaskan permainan video hanya satu faktor saja sebaliknya perkara yang lebih besar adalah dendam daripada diri seseorang terhadap sesuatu perkara.

“Jika kita meletakkan punca utama adalah permainan video, bagi saya, itu tidak adil kerana ramai remaja atau belia yang bermain permainan bercorak ganas namun tidak menjurus ke arah perbuatan itu.

“Apa yang lebih utama adalah sifat diri seseorang itu. Mereka ada manifesto diri sendiri, dendam mereka, sifat amarah terhadap sesuatu perkara dan pengaruh permainan video itu hanya satu faktor saja.

“Bagaimanapun, ketika saya meneliti video berkenaan (insiden tembakan di Christchurch, New Zealand) ia mirip permainan video tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan semua yang berlaku adalah 100 peratus pengaruh permainan itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad mencadangkan permainan dalam talian iaitu ‘Player Unknowns Battlegrounds (PUBG) perlu diharamkan kerana memberi kesan kepada kanak-kanak.

Mohd Yusof menyatakan kerajaan perlu memikirkan perkara itu kerana ia jelas dapat memberi kesan terhadap kanak-kanak dan remaja.

Sebelum ini, dunia digemparkan dengan insiden pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 jemaah.

Suspek, Brenton Tarrant, 28, menyiarkan serangan itu secara langsung di Internet menerusi kamera yang dipasang dan melepaskan tembakan kepada jemaah masjid.

Mariani berkata, lelaki yang melakukan pembunuhan itu mempunyai objektif dalam dirinya serta sentimen kebencian yang terlampau sehingga mendorongnya melakukan sesuatu di luar garis norma manusia.

“Pengaruh permainan video hanya satu faktor saja, sebaliknya perkara yang lebih besar perlu diperkatakan adalah kaedah menangani amarah,” katanya.

Selain itu, menurut kajian pakar psikologi di Universiti Bonn, Jerman, Dr Christian Montag, beliau mendedahkan bahawa memang berlaku perubahan kepada individu yang bermain genre permainan ganas namun tiada bukti jelas berhubung dua perkara itu.

Beliau yang juga pensyarah di Institut Psikologi universiti berkenaan memaklumkan perubahan kepada individu berkenaan tidak boleh dijadikan bukti tunggal sebaliknya memerlukan kajian saintifik untuk membezakan aktiviti sel otak manusia yang biasa bermain dengan permainan ganas dengan individu yang tidak bermain genre berkenaan.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 1:00pm
d