itmetro

Kenali lokasi pendaratan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERMAINAN Apex Legends bukan sekadar untuk kekal bertahan daripada serangan pasukan musuh sebaliknya ia lebih kepada strategi berkumpulan untuk memastikan setiap anggota pasukan melaksanakan tugas masing-masing.

Pemilihan lokasi untuk mendarat adalah paling penting dalam permainan ini kerana ia akan memastikan kejayaan setiap ahli pasukan.

Berbeza dengan judul lain yang menggunakan konsep pertempuran beramai-ramai (Battle Royale), Apex Legends menggunakan kaedah strategi berkumpulan dan setiap pasukan dianggotai oleh tiga ahli dan seorang daripada mereka akan menjadi ‘jumpmaster’ atau ketua terjunan yang akan memilih lokasi pendaratan.

Sebagai ketua terjunan, menjadi tugas tanggungjawab untuk memastikan lokasi yang dipilih sesuai dengan rentak permainan dan mengimbangi antara kehendak untuk menembak musuh atau mencari jalan selamat bagi kekal lebih lama dalam sesuatu sesi permainan.

IT@Metro minggu ini menyenaraikan beberapa tip yang perlu diambil perhatian oleh pemain Apex Legends supaya kekal bertahan dan berjaya untuk bergelar ‘Champion’ dengan menjadi pasukan terakhir.

Mencari ‘loot’ yang lebih baik

Ini adalah tips utama yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pemain Apex Legends supaya sentiasa mengutamakan lokasi yang mempunyai banyak kotak barangan.

Dalam permainan ini, pemilihan senjata dan kelengkapan pemain adalah kunci kepada kejayaan dan ia sudah pasti satu kelebihan kepada pasukan yang memiliki pelbagai persenjataan sama ada untuk pertempuran jarak jauh atau dekat.

Tidak semua lokasi mempunyai taraf barangan yang sama memandangkan wujud lokasi tertentu yang memiliki kelengkapan aras tinggi atau ‘high tier’.

Semua barangan ini adalah paras ketiga dan pemain yang memilikinya mempunyai kelebihan ketika bertempur. Jadi, kunci kejayaan adalah mengenal pasti lokasi yang memiliki kelengkapan aras tinggi supaya mudah untuk menewaskan musuh.

Namun, pemain perlu berhati-hati kerana hampir semua pasukan akan menyerbu lokasi yang memiliki kelengkapan aras tinggi jadi siapa yang lambat akan menjadi korban peringkat awal.

Pemilihan lokasi mendarat di atas kapal bekalan

Kaedah paling mudah untuk mendapatkan kelengkapan aras tinggi (high tier) adalah mendarat di atas kapal bekalan, namun strategi itu adalah bahaya kerana terdapat ramai pemain yang memilih lokasi berkenaan.

Ia juga boleh dianggap sebagai kawasan pendaratan panas (hot spot landing zone) kerana secara kebiasaannya lebih daripada 5 pasukan akan mendarat di atas kapal berkenaan.

Jadi pastinya pertempuran adalah lebih sengit dan peluang untuk kekal hidup sangat nipis. Mendarat di lokasi berkenaan adalah satu strategi cepat namun ia hadir dengan rintangan yang sukar.

Mendarat paling lambat dan bergerak secara sendirian

Walaupun permainan Apex Legends ini secara asasnya adalah strategi berkumpulan namun pemain boleh bertindak sebagai penyerang bersendirian (lone wolf).

Kaedah ini hanya akan berjaya jika pemain memilih untuk keluar daripada pesawat sebagai pemain paling akhir dan menunggu kapal bekalan yang baru.

Strategi ini membolehkan pemain kekal lebih lama dalam permainan dan memperoleh barangan aras tinggi namun kurang tentangan memandangkan kebanyakan pemain akan memilih untuk mendarat di awal permainan.

Bagaimanapun, kesan kepada strategi ini adalah pemain mungkin tidak dapat melihat taburan pasukan musuh di kawasan tertentu dan memerlukan lebih kecekapan serta kombinasi kelengkapan untuk memenangi permainan.

Mendarat awal dan memilih lokasi pendaratan jauh dengan pasukan lain

Ini mungkin strategi yang biasa digunakan oleh pemain baru iaitu mendarat lebih awal dengan memilih lokasi yang jauh dengan taburan pasukan musuh.

Kelengkapan pula diperoleh berdasarkan pencarian daripada satu lokasi ke lokasi lain dan ini adalah strategi yang agak berkesan terutamanya kepada pemain baru.

Pemain baru mungkin tidak biasa dengan landskap peta dan lokasi strategik namun mereka boleh mempraktikkan strategi ini sebelum mengenali lokasi yang lebih baik.

Kaedah ini sesuai jika pemain bersama-sama dengan dua lagi ahli pasukan lain supaya mengurangkan risiko terkorban di awal permainan.

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 1:30pm
d