itmetro

Perkasa industri digital tekstil

Oleh Muhammad Saufi Hassan

INDUSTRI digital tekstil negara diramalkan bakal bernilai RM9.39 bilion pada 2023 berbanding nilai pada tahun lalu iaitu RM7 bilion dan perkembangan itu wajar diberikan perhatian khusus.

Untuk tujuan perkembangan industri digital tekstil berkenaan, tenaga pengeluar industri berkenaan perlu melihat cabaran baharu terutama membabitkan aspek percetakan digital.

Pengeluar pencetak terkemuka, Epson tidak ketinggalan untuk melihat kepada keperluan industri berkenaan menerusi pendekatan ‘Akademi F-Series’ miliknya.

Pengarah Pemasaran dan Jualan Epson Malaysia, Danny Lee melihat syarikatnya berada di barisan depan revolusi untuk percetakan tekstil digital.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan individu atau kelompok utama yang ingin memodenkan industri percetakan tekstil digital dan pemilik perniagaan percetakan sedia ada yang ingin meningkatkan serta memperluas pengetahuan perniagaan mereka.

“Secara asasnya, kita melihat potensi besar dalam industri tekstil yang berkembang pesat di Malaysia, terutama pada tahun kebelakangan ini.

“Oleh demikian, terdapat keperluan bagi pemilik perniagaan kecil dan besar untuk memahami serta mula menggunakan teknologi baharu mengendalikan pengeluarannya dengan cara terbaik untuk memenuhi tuntutan yang semakin meningkat,” katanya.

Lee berkata, industri fesyen berkembang pada kadar yang sangat pantas dan ia memerlukan segmen tekstil juga bergerak seiringan supaya mampu untuk menjana pertumbuhan negara.

Beliau berkata, percetakan digital dalam industri tekstil ini bukan perkara mustahil kerana menerusi produk keluarannya sudah membuktikan tahap efisien dan kaedah ini lebih menjimatkan kos.

“Akademi ini adalah satu program latihan eksklusif yang memperkenalkan, membuka ruang dan mendedahkan kaedah percetakan tekstil digital menerusi produk Epson SureColorF-Series.

“Ini adalah program pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dan latihan itu dilaksanakan oleh individu bertauliah yang sudah disahkan oleh Epson sendiri.

“Menerusi program itu, kami mengharapkan dapat membantu perniagaan tekstil di negara ini dalam menyusun semula cara supaya meningkatkan serta memperluaskan penawaran perniagaan mereka dengan mengurangkan kos pengeluaran tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 11:58am
d