itmetro

ASUS ROG tawar tiga pilihan buat 'gamers' [METROTV]

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ASUS Republic of Gamers (ROG) melancarkan tiga produk terbaru mereka bagi kelas permainan termasuk satu laptop paling nipis yang dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7 generasi kelapan.

Bagi segmen laptop, ASUS ROG memperkenalkan produk mereka iaitu Zephyrus S GX701 berkenaan juga menggunakan pemproses Intel Core i7-8750H manakala kad grafik Nvidia generasi kedua iaitu RTX 2080 Max-Q yang dipadankan dengan memori berkapasiti 24GB RAM.

Laptop berkenaan menggunakan storan jenis SSD PCIe sebanyak 1TB dan menggunakan paparan bersaiz 17.3 inci pada resolusi definisi penuh (FHD) dengan kadar segar semula 144Hz.

Skrin paparan ini menyokong teknologi yang dipelopori oleh Nvidia iaitu GSYNC untuk memberikan pengalaman lebih baik ketika bermain tanpa sebarang gangguan imej grafik.

Zephyrus S GX701 ini ditawarkan pada harga RM13,999 dan ia dilengkapi dengan pakej beg galas ASUS ROG Backpack, tetikus ASUS ROG Gladius II dan kamera webcam ASUS ROG GC21 yang bernilai RM899.

Bagi segmen desktop kelas permainan pula, ASUS memperkenalkan dua kelas desktop iaitu ROG Strix GL10CS dan ROG Strix GL12CX serta kedua-dua kelas itu didatangkan dengan tiga varian berbeza.

Untuk desktop model GL10CS, harga ditawarkan bermula RM2,699, RM4,499 dan RM5,499.

Varian berkenaan dibezakan dengan spesifikasi pemproses iaitu menggunakan Intel Core i7-8700 dan dua lagi Intel Core i5-8400 manakala kad grafik pula untuk dua model adalah Nvidia Geforce GTX 1060 dan GTX 1050.

ROG Strix GL12CX pula, harga ditawarkan bermula RM9,999, RM12,999 dan RM14,999. Untuk varian paling tinggi, desktop berkenaan akan dilengkapi dengan pemproses Intel Core i9-9900K manakala dua lagi adalah Intel Core i7-9700K.

Ia juga dilengkapi dengan kad grafik Nvidia generasi baru iaitu RTX 2080 dan RTX 2070 serta semua produk itu mempunyai jaminan ganti rugi selama tiga tahun.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 6:48pm
d