itmetro

Berkuasa untuk semua tugasan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ASUS Republic of Gamers (ROG) jarang mengecewakan pengguna apabila sering tampil memberikan rekaan terbaik tanpa mengabaikan spesifikasinya dan sudah pasti, laptop atau desktop keluaran ROG adalah dalam kelas permainan.

Pereka ASUS ROG bertugas dengan cemerlang apabila mampu mengeluarkan laptop kelas permainan terbaharu mereka iaitu ROG Zephyrus S GX701 yang menggunakan spesifikasi paling maju setakat ini.

Walaupun laptop jenis ini dikategorikan sebagai kelas permainan, namun jika anda bekerja dalam bidang sintesis imej mahupun video serta animasi (rendering image/video/animation), Zephyrus S GX701 adalah ‘syurga’ buat anda.

Laptop ini bukan saja berkuasa, malah ASUS ROG berjaya membuatkan laptop kelas permainan ini sebagai paling nipis dalam kelasnya.

Tugasan sintesis imej atau animasi tidak memerlukan masa yang lama untuk siap kerana laptop berkenaan menggunakan pemproses Intel Core i7-8750H iaitu generasi kelapan dan terbaru dalam keluarga Intel Core.

Sokongan memori atau RAM untuk laptop ini mampu untuk menyokong 24GB dan 8GB RAM terbina ketika pembelian laptop berkenaan dan pengguna boleh menambah mengikut kesesuaian.

Selain itu, storan untuk peranti ini menggunakan sistem penyimpanan baru iaitu SSD M.2 1TB dan sistem storan jenis ini mampu untuk membaca fail dengan kadar terpantas.

Paling penting bagi kaki ‘games’ atau mereka yang bekerja sebagai sintesis imej adalah kad grafik. ASUS ROG berjaya memuatkan gergasi kad grafik setakat ini iaitu Nvidia generasi kedua, RTX 2080 Max-Q.

Laptop ini menggunakan skrin paparan 17.3 inci selain teknologi panel IPS, kadar segar semula 144Hz dan menyokong teknologi Nvidia iaitu GSYNC.

Persepsi sebelum ini adalah, laptop yang mempunyai prestasi tinggi sering mengalami masalah kepanasan termasuk papan kekunci yang diletakkan di atas komponen utama grafik.

Bagaimanapun, kali ini, ASUS ROG meletakkan ruang kosong di bahagian atas papan kekunci sebagai sistem penyejukan sekali gus pengguna tidak akan merasa kepanasan ketika menggunakan papan kekunci berkenaan.

Laptop ini juga mempunyai empat saluran udara bagi membolehkan pengaliran udara maksimum termasuk satu ruang udara boleh laras dibawahnya.

Ruang udara boleh laras berkenaan akan tertutup secara automatik jika pengguna menutup skrin paparan dan ia rekaan paling bijak bagi ASUS ROG.

SPESIFIKASI

• Nama model: ROG Zephyrus S GX701G-XEV062T

• Pemproses: Intel CoreT i7-8750H

• Memori: DDR4 2666 16G + 8G(terbina)

• Storan: PCIE G3x4 NVME 1TB M.2 SSD

• Panel skrin paparan: 17.3 inci / IPS Panel / 144Hz / G-sync

• Kad grafik: NVIDIA GeForce RTX2080 MAX Q

• Sistem operasi:

• Windows 10 (64bit)

•Harga: RM14,999

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 11:16am
d