itmetro

Belum masanya...

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ONEPLUS mungkin kurang popular bagi masyarakat umum di Malaysia namun syarikat itu sudah membuktikan bahawa mereka mampu menghasilkan telefon berprestasi tinggi setaraf jenama lain.

Umpama satu ‘trend’ apabila setiap pengeluar telefon pintar berlumba-lumba untuk mengeluarkan peranti boleh lipat namun tidak kedengaran khabar angin bahawa OnePlus akan mengeluarkan peranti seperti itu.

Dalam satu perjumpaan di Milan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Pete Lau menyatakan mereka belum bersedia menawarkan peranti boleh lipat untuk pasaran dalam masa terdekat.

Lau berpandangan, telefon pintar boleh lipat bukan saja menelan kos yang tinggi, tetapi secara asasnya, selain skrin boleh lentur, tidak banyak perbezaan ketara berbanding dengan pintar biasa sedia ada.

Namun begitu, OnePlus dilihat tidak akan meninggalkan terus segmen tersebut, cuma penawarannya mungkin menunggu pasaran tersebut lebih matang pada masa hadapan.

Terdahulu, OnePlus pernah dikhabarkan akan melancarkan OnePlus TV sebagai langkah mempelbagaikan penawaran syarikat.

Lebih gemar menyebutnya sebagai ‘paparan pintar’ berbanding TV, Lau menganggap penggunaan alat kawalan TV sudah ketinggalan dan menggambarkan sebuah paparan sokongan AI yang mampu melakukan pelbagai perkara.

Syarikat berkenaan dikatakan masih dalam usaha untuk mempersiapkan dan masih terlalu awal untuk mendedahkan garis masa produk ini akan ditawarkan.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 12:00pm
d