itmetro

Edisi khas pemproses generasi Ryzen 7 2700X

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR pemproses terkemuka, Advanced Micro Devices (AMD), mengeluarkan edisi khas pemproses generasi Ryzen 7 2700X sempena sambutan 50 tahun syarikat berkenaan.

Pengguna yang mendapatkan edisi khas ini akan memperoleh beberapa hadiah istimewa termasuk warna kotak pemproses keemasan bersama hadiah lain.

Uniknya, pelanggan yang membeli pemproses edisi khas ini bukan saja mendapat cip pemproses generasi Ryzen 7 malah turut mengandungi tandatangan Ketua Pegawai Eksekutif AMD Lisa Su, di atas permukaan pemproses berkenaan.

Pembelian pemproses edisi khas itu juga menawarkan dua judul permainan percuma iaitu ‘World War Z’ dan ‘Tom Clancy’s Division 2’ Edisi Emas termasuk kupon penebusan baju T AMD50.

Selain itu, AMD bakal melancarkan generasi ketiga siri Ryzen seperti yang diumumkan oleh Lisa ketika CES 2019 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, Januari lalu.

Generasi ketiga Ryzen akan menampilkan lapan teras berasaskan cip 7nm dan AMD memfokuskan pemproses keluarannya mampu untuk menggalas kepelbagaian tugas untuk sesuatu masa bagi memaksimumkan kepenggunaan cip berkenaan.

AMD juga berjanji papan induk (motherboard) dalam kelas AM4 mampu digunakan sehingga 2020 dan pengguna tidak perlu bimbang untuk menaik taraf papan induk mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, selepas tempoh itu, AMD akan melancarkan papan induk siri 500 untuk membolehkan perkembangan pemproses keluarannya terus mendominasi bagi segmen pengeluaran cip berkenaan.

Berdasarkan maklumat tertiris berkaitan pemproses generasi ketiga Ryzen ini, pemproses kelas permulaan iaitu Ryzen 3 3300 akan dilengkapi dengan enam teras dan 12 ‘Threads’ manakala bagi kelas prestasi tinggi iaitu Ryzen 9 3850X mempunyai 16 teras dan 32 Threads.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 8:15am
d