itmetro

Tiada lagi masalah kepanasan [METROTV]

Oleh Muhammad Saufi Hassan

BAGI laptop kelas permainan atau prestasi tinggi, peranti berkenaan kebiasaannya bersaiz besar dan agak tebal kerana ia menempatkan kipas penyejuk untuk perkakasannya.

Laptop jenis ini sangat bersesuaian dengan tugasan sintesis imej, video ataupun animasi tanpa sebarang masalah kerana peranti berkenaan sudah dilengkapi perkakasan termaju di pasaran.

Tugasan sintesis imej, video dan animasi memerlukan perkakasan komputer atau laptop yang baik kerana ia menggunakan keseluruhan potensi peranti berkenaan.

Untuk semua keperluan berkenaan, penulis mencadangkan kepada anda untuk melihat laptop Acer dalam kelas permainan atau prestasi tinggi iaitu ‘Acer Predator Triton 500’.

Laptop ini didatangkan dalam tiga varian hampir sama cuma yang membezakan antara tiga barisan ini adalah cip pemprosesan serta kad grafik digunakan.

Bagi kelas tinggi iaitu Acer Predator Triton 500 (PT515-51-71KN), ia menggunakan pemproses Intel Core i7-9750H yang dipadankan dengan keupayaan memori (RAM) sebanyak 16GB DDR4.

Laptop jenis ini menggunakan kad grafik termaju iaitu Nvidia GeForce RTX 2070 dengan keupayaan memori video 8GB DDR6.

Sistem storan laptop ini menggunakan 512GB PCIe NVMe SSD dan ia memberikan kadar bacaan data atau pemindahan data dengan tinggi dan efektif.

Skrin paparan berkeluasan 15.6 inci dengan kemampuan teknologi IPS Definisi Penuh (FHD) bersama 300 nits keterangan.

Kadar segar semula untuk skrin paparan ini adalah 144Hz dan ia sangat sesuai untuk permainan aksi pantas.

Persepsi sebelum ini adalah, laptop yang mempunyai prestasi tinggi sering mengalami masalah kepanasan termasuk papan kekunci yang diletakkan di atas komponen utama grafik.

Acer bijak menggunakan teknologi kipas ‘Aeroblade’ generasi keempat kerana ia mampu mengekalkan suhu laptop walaupun menggunakan sepenuh prestasi peranti berkenaan.

Pengguna juga boleh mengubah suai prestasi laptop mereka dengan menggunakan perisian terbina iaitu ‘PredatorSense’ dan pengguna boleh membuat talaan prestasi mengikut cita rasa.

Papan kekunci Acer Predator Triton 500 juga dilengkapi sistem lampu LED RGB dan pengguna boleh menukar pelbagai corak warna mengikut kesesuaian.

ACER Predator Triton 500

• PEMPROSES: Intel Core i5-9300H / i7-9750H

• RAM: 8GB x 2 DDR4 (boleh dinaik taraf kepada 16GB x 2)

• STORAN: 512GB PCIe NVMe SSD

• KAD GRAFIK: Nvidia GeForce RTX 2060 / RTX 2070

• SKRIN PAPARAN: 15.6 inci IPS Definisi Penuh

• HARGA: RM6,999 /RM7,599 / RM8,699

Penilaian Penulis

• PRESTASI: 4.5 / 5

• REKA BENTUK: 4 / 5

• KEUPAYAAN KEPELBAGAIAN TUGAS: 4.5 / 5

• HARGA: 4 / 5

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 9:45am
d