itmetro

Survival hidup dalam konflik zombie

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGGEMAR permainan konsol mungkin tidak akan melepaskan judul permainan ‘Days Gone’ keluaran SIE Bend Studio dan permainan ini menampilkan genre peperangan dengan zombie.

Kebanyakan permainan yang menampilkan konsep permainan zombie ini mudah untuk bosan kerana konsep penceritaan yang hampir sama.

Sama ada zombie itu adalah hasil uji kaji sains yang tidak berjaya ataupun wabak penyakit dan itu adalah kebanyakan struktur penceritaan permainan yang menampilkan isu terbabit.

Namun, sedikit kelainan bagi Days Gone apabila ia bukan saja menampilkan peperangan atau konflik dengan zombie sebaliknya struktur jalan cerita lebih kepada survival untuk hidup dalam konflik itu.

Wujud juga beberapa watak manusia jahat dalam permainan itu dan pemain akan menggunakan watak Deacon St John iaitu seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan karakter Deacon adalah melakukan apa saja untuk membantu rakan-rakannya.

Permainan ini juga menampilkan unsur kejutan seperti pemain perlu menempuh terowong gelap yang di dalamnya dihuni ribuan zombie yang menunggu masa untuk mencari mangsa baru.

Keunikan permainan ini adalah daripada jalan cerita dan pengguna boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi serta melanggar zombie berkenaan tanpa belas kasihan.

Latar belakang tempat permainan ini akan menggunakan sebuah wilayah di Amerika Syarikat iaitu Oregon dan pemain akan menelusuri wilayah berkenaan menaiki motosikal dan berbekalkan senjata api.

Penulis mendapati perkara yang sangat baik untuk judul ini adalah drama di antara aksi permainan bertaraf filem selain pembangun permainan bijak untuk memainkan sudut kamera tatkala drama atau ‘cutscenes’ itu berlangsung.

Secara asasnya, permainan ini mempunyai tempoh masa misi kempen selama 20 jam dan pemain boleh menunggang motosikal untuk mencari barangan unik di dalam permainan itu.

Pertempuran dalam permainan ini boleh disifatkan antara yang terbaik dan pemain boleh memilih senjata mereka dan setiap daripada perkakasan senjata memiliki kelebihan tersendiri.

Seperti judul permainan zombie yang lain, pemain perlu menembak di bahagian kepala untuk membunuh zombie dengan sebutir peluru manakala tembakan di bahagian lain memerlukan peluru yang banyak.

Perkara yang perlu sentiasa diperhatikan sepanjang permainan ini adalah bekalan peluru kerana pemain akan merasa sukar untuk memperoleh bekalan sepanjang tempoh berkenaan.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 10:08am
d