itmetro

AMD Juara Baru Segmen Pemproses

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERANG teknologi untuk segmen cip pemproses antara dua gergasi utama iaitu Intel dan Advanced Micro Devices (AMD) nampaknya lebih hangat apabila AMD melancarkan generasi baharu pemprosesan mereka yang menggunakan teknologi 7 nanometer (nm).

Tidak cukup dengan itu, AMD turut mengumumkan generasi baharu kad grafik keluarannya sekali gus bakal memaksa pesaingnya, Nvidia untuk menurunkan harga bagi membolehkan dua jenama berkenaan bersaing di pasaran.

Ketika pelancaran pemproses Siri Ryzen Generasi Ketiga di Computex, Taiwan, Isnin lalu, AMD mengumumkan lima model pemproses keluarannya termasuk kad grafik yang bakal menggantikan generasi terdahulu.

Pemproses baharu itu daripada model Ryzen 5 yang dilengkapi enam teras 12-Threads sehingga Ryzen 9 3900X dengan 12 teras dan 24-Threads.

Pengumuman itu umpama tamparan baharu buat pesaing mereka bagi segmen pemproses serta kad grafik iaitu Intel dan Nvidia kerana generasi terkini untuk dua barisan produk berkenaan menawarkan prestasi lebih baik daripada pesaing mereka dan harga yang lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su pada ucapannya berkata, AMD sentiasa melakukan yang terbaik untuk pengguna serta teknologi dan sudah sampai waktunya dunia diperkenalkan dengan sistem pemproses paling maju menerusi teknologi 7nm.

Katanya, siri pemproses Ryzen generasi 3000 ini dibina berdasarkan cip perkomputeran ‘Zen 2’ yang menjanjikan peningkatan prestasi berbanding bukan saja pemproses daripada siri terdahulu iaitu Ryzen 2000, tetapi juga pemproses generasi kesembilan yang terkini daripada Intel.

“Semua pemproses generasi baharu ini adalah sistem pemproses pertama di dunia yang menggunakan 7nm desktop dan akan mula dipasarkan pada 7 Julai depan.

“Untuk siri Ryzen bagi model 3900X mempunyai kelajuan 4.6Ghz dan menggunakan 105 watt daripada kuasa haba berbanding Intel Core i9-9920X yang menggunakan 165 watt,” katanya.

Secara bandingan, dua cip pemproses iaitu Intel Core i9-9920X berbanding Ryzen 9 3900X menunjukkan siri terkini AMD adalah 18 peratus lebih pantas berbanding cip pemproses Intel.

AMD juga mengumumkan kad grafik terkini mereka dengan nama kod ‘Navi’ yang turut menggunakan teknologi 7nm dan ia akan dinamakan sebagai AMD Radeon RX5700 dengan sokongan format sambungan PCIe 4.0.

Sambungan PCIe 4.0 itu akan membolehkan kadar pemindahan data lebih pantas pada tahap 5GB/s dan ini akan hadir bersama papan induk terbaru iaitu AMD X570.

Sejak kemunculan model pemproses Ryzen beberapa tahun lalu, dominasi Intel dalam segmen berkenaan semakin berkurangan malah, AMD sudah menguasai segmen pemproses memandangkan syarikat itu mengeluarkan produk berprestasi tinggi namun harga yang jauh lebih rendah daripada Intel.

AMD juga begitu boleh dikatakan juara baharu segmen berkenaan berdasarkan beberapa ujian pemproses yang menunjukkan produk mereka lebih baik terutamanya untuk pemproses kelas prestasi tinggi iaitu Threadripper.

Penguasaan AMD ditambah dengan pengeluaran kad grafik terbaru mereka tidak lama lagi sekali gus memberi tekanan kepada Nvidia untuk menurunkan harga.

Sebelum ini, kad grafik Nvidia lebih baik daripada aspek penawaran teknologi terkini dan AMD mahu mencabar dominasi syarikat berkenaan dengan produk AMD Radeon RX5700.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 9:18am
d