itmetro

Tarikan teknologi kelas perdana

Oleh Muhammad Saufi Hassan

TELEFON pintar di bahagikan kepada tiga kelas utama iaitu kelas permulaan, pertengahan dan perdana.

Boleh dikatakan setiap pengeluar peranti berkenaan akan memberikan kod nama kepada peranti mereka untuk memudahkan pengguna membezakan setiap nama kod dengan kelas berkenaan.

Hal sama berlaku kepada Samsung apabila ia memberikan tiga kod nama berbeza kepada telefon pintar keluarannya iaitu kod M untuk kelas permulaan, A kelas pertengahan dan perdana adalah siri ‘Galaxy S’.

Terbaharu, Samsung melancarkan peranti kelas pertengahan iaitu Samsung Galaxy A50 yang menggunakan pemproses Exynos 9610 serta dipadankan dengan keupayaan memori (RAM) 6GB.

Peranti Samsung Galaxy A50 mempunyai tanda harga RM1,199 dan berada dalam kelas pertengahan.

Walaupun kelas pertengahan, nampaknya Samsung semakin optimis untuk mendominasi segmen berkenaan apabila menggunakan padanan spesifikasi yang sangat baik.

Berdasarkan reka bentuk peranti itu, telefon pintar ini menggunakan material binaan yang hampir sama dengan kelas perdana iaitu bahagian belakang mirip rekaan berkaca sekali gus memberikan hasil produk yang kelihatan premium.

Peranti berkenaan menggunakan sistem imbasan cap jari biometrik terbina di dalam skrin paparan dan menggunakan rekaan skrin Infinity-U yang memberikan rekaan lebih cantik.

Galaxy A50 menggunakan sistem storan 128GB yang turut menyokong kad SD sehingga 512GB dan ia memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyimpan lebih banyak data atau gambar dalam peranti mereka.

Telefon pintar ini menggunakan kamera

25 megapixel (MP)

sebagai lensa utama dipadankan dengan 8MP untuk lensa sudut ultra luas dan 5MP untuk ‘depth sensor’.

Samsung lebih bijak membuat padanan untuk sistem imbasan biometrik terbina di dalam skrin untuk telefon kelas pertengahan dan ia adalah ciri ‘jualan paling kuat’ untuk pengguna di luar sana.

Penulis berasakan bahawa Samsung Galaxy A50 adalah telefon pintar kelas pertengahan yang menawarkan pengimbas cap jari terbina.

Kebanyakan peranti yang menawarkan ciri itu ditawarkan dengan harga lebih tinggi dan kini, Samsung berjaya menarik perhatian pengguna untuk melihat peranti Galaxy A50 ini.

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy A50 adalah sebuah peranti yang sangat baik untuk kelas pertengahan kerana menawarkan ciri yang dimiliki oleh kelas mercu selain peranti mampu milik.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 9:26am
d