itmetro

Lasak dalam apa jua keadaan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR dron terkemuka, DJI melancarkan kamera tahan lasak pertamanya iaitu DJI Osmo Action dan pelancaran peranti terbaru syarikat itu dilihat semakin mencabar penguasaan GoPro.

GoPro selaku pengeluar kamera aksi menerusi pelbagai model memperlihatkan kekuatan setiap perantinya, namun DJI bakal menandingi jenama berkenaan selepas pengumuman DJI Osmo Action.

DJI Osmo Action menyasarkan segmen peminat sukan dan aktiviti lasak termasuk individu yang gemar merakam video ketika mengunjungi destinasi menarik.

Walaupun peranti berkenaan bersaiz kecil, namun kualiti video sangat mengagumkan dan Osmo Action diramal mencabar keupayaan GoPro HERO7.

Osmo Action dilengkapi teknologi penstabilan imej dan pemilik peranti ini tidak perlu khuatir berhubung kualiti video yang dihasilkan biarpun dirakam dalam pelbagai keadaan.

DJI menggunakan skrin dua warna dan paparan hadapan seluas 1.4 inci di mana pengguna boleh melihat imej yang terakam atau ketika mengambil gambar swafoto.

Bagi skrin utama pula, DJI menggunakan 2.25 inci skrin sesentuh yang dilengkapi ketahanan air dan lapisan nyah cap jari, sekali gus tidak mengganggu skrin berkenaan.

Osmo Action turut dilengkapi teknologi penyerap hentakan dan menawarkan arahan suara supaya memudahkan pengguna untuk merakam video atau mengambil gambar.

Menerusi spesifikasinya, DJI Osmo Action menggunakan sensor 1/2.3 inci yang berkeupayaan untuk merakam imej 12 megapixel (MP) dan video resolusi 4K pada 60 bingkai sesaat (FPS) dengan 100Mbps.

Peranti itu juga berkemampuan untuk melakukan aksi gerak perlahan dengan lapan kali gerak perlahan pada resolusi 1080 / 240 FPS.

Pengeluar peranti ini iaitu DJI menjanjikan bahawa pengguna mampu untuk merakam video selama 93 minit pada resolusi 4K dengan 30 FPS di samping mod penstabilan dihidupkan.

Video resolusi 1080 dan 30 FPS mampu untuk merakam video dalam tempoh 135 minit dan peranti ini sesuatu yang menarik untuk dimiliki penggemar sukan lasak.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 9:32am
d