itmetro

MOBA adiwira

Oleh Muhammad Saufi Hassan

NAMPAKNYA, demam siri Marvel Avengers masih belum reda apabila terbaru, satu permainan berkonsepkan Arena Pertempuran Dalam Talian (Multiplayer Online Battle Arena - MOBA) berasaskan watak Marvel Avengers akan menemui peminat tidak lama lagi.

Permainan itu bakal dikenali sebagai Marvel Super War dan ia dibangunkan NetEase serta Marvel Entertainment.

Permainan itu menggunakan pendekatan mudah alih (mobile) dan ia bakal dilancarkan di dua platform peranti utama iaitu milik Apple Inc, iOS serta Android.

Konsep permainan itu mirip kepada Mobile Legends apabila pemain boleh menyertai pasukan yang dianggotai pemain lain dan memilih karakter kegemaran mereka.

Setiap karakter berkenaan mempunyai kelas tersendiri dan termasuk pemain boleh memilih watak penjahat yang wujud dalam siri Marvel Avengers serta bertarung dalam satu medan pertempuran.

Karakter hero berkenaan akan mempunyai pelbagai kuasa serta kemampuan dan berdasarkan watak yang dipilih termasuk kelas karakter berkenaan.

Bagaimanapun, permainan itu belum dilancarkan secara rasmi dan kini dibuka untuk percubaan atau closed beta supaya pembangun permainan itu dapat melihat sebarang kekurangan dalam corak permainan terbabit.

Permainan fasa percubaan itu sudah dilancarkan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan India beberapa hari lalu dan pemain yang mendaftar untuk mencuba permainan itu akan menerima pautan muat turun.

Spesifikasi minimum bagi peranti yang ingin bermain permainan itu adalah menggunakan pemproses sekurang-kurangnya Qualcomm Snapdragon 410, Adreno 306 dan mempunyai memori (RAM) 2GB.

Bagi pemain yang sudah mempunyai akaun dalam fasa percubaan, segala maklumat serta data mereka akan dipadamkan apabila fasa berkenaan berakhir 10 Jun ini untuk mengutamakan permainan adil tatkala ia dilancarkan kelak.

Sehingga kini, tidak banyak maklumat yang dikeluarkan oleh pembangun permainan berkenaan untuk Marvel Super War termasuk tarikh khusus pelancaran permainan itu secara global.

Pembangun permainan itu hanya menyatakan bahawa Marvel Super War dalam proses fasa percubaan dan mungkin ia akan dilancarkan sepenuhnya beberapa bulan lagi berdasarkan respons pemain terhadap fasa berkenaan.

Permainan ini juga boleh dimuat turun secara percuma kelak namun mungkin pembangun akan menggunakan kaedah pembayaran untuk akaun eksklusif atau pelbagai barangan menarik bagi karakter tertentu.

Kebanyakan peminat sukan elektronik mudah alih berharap judul Marvel Super War mampu untuk menjadi permainan MOBA terbaik dan pembangun perlu menyediakan konsep permainan yang rapi seperti Mobile Legends.

Ini kerana terdapat pelbagai judul MOBA yang dikategorikan sebagai kandungan ‘sampah’ kerana menawarkan konsep pembayaran untuk menang dengan pembelian barangan untuk setiap peringkat.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 8:28am
d