itmetro

Marvel's Avengers mengecewakan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

EKSPO Hiburan Elektronik (E3) 2019 yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sudah melabuhkan tirainya namun ramai peminat sukan elektronik menzahirkan rasa kecewa dengan permainan ‘Marvel’s Avengers’.

Semuanya seperti tidak kena tatkala pembangun permainan itu, Square Enix mempertontonkan video prapelancaran bagi Marvel’s Avengers yang memperlihatkan kekurangan daripada aspek ketelitian grafik.

Berdasarkan video berkenaan, permainan itu umpama dilancarkan pada 2010 apabila boleh dikatakan tiada kesan grafik yang baik dipersembahkan dan semuanya seakan-akan dibuat secara ‘tangkap muat’.

Selepas peminat Marvel’s Avengers disajikan dengan kehebatan filem itu dengan mutu lakonan yang tinggi oleh bintang Hollywood, semuanya ternanti-nantikan permainan itu namun sangat mengecewakan apabila Square Enix seolah hilang sentuhan untuk siri berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian penulis, sut Iron Man seolah-olah diperbuat daripada plastik, baju zirah milik Thor umpama pinggan kaca yang disusun di atas badan manakala mimik muka serta ketelitian grafik pula teruk.

Tatkala semua peminat sukan elektronik mahukan semua permainan dalam spesifikasi terkini serta mampu menggunakan teknologi ‘Ray Tracing’ serta DLSS milik Nvidia, semua itu ‘ghaib’ bagi Marvel’s Avengers.

Video pendek itu memperlihatkan bahawa setiap karakter adiwira Avengers kembali kepada zaman kad grafik Nvidia siri 200 yang hanya memerlukan kapasiti video memori (VRAM) 1GB untuk bermain dalam tatacara ‘High Setting Graphic’.

Penulis yang menyaksikan secara langsung E3 minggu lalu nyata kecewa dengan persembahan Square Enix kerana setiap penggemar sukan elektronik menantikan kejutan daripada mereka namun hampa apabila pembangun permainan itu memberi kejutan yang negatif.

Watak di dalam Marvel’s Avengers juga kelihatan tidak diberi perincian yang secukupnya oleh pembangun permainan itu.

Sehingga kini, Square Enix masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan maklum balas peminat namun ada khabar angin menyatakan video berkenaan hanyalah video prapembangunan untuk permainan itu.

Jika benar begitu, masih ada ruang yang luas untuk Square Enix membuktikan keupayaan mereka supaya setanding dengan pengeluar permainan gergasi yang lain seperti Ubisoft.

Semua peminat mengharapkan Square Enix dapat memberikan kepuasan dalam permainan siri Avengers memandangkan reputasi filem berkenaan yang sangat baik di samping lakonan bermutu barisan pelakonnya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 9:33am
d