itmetro

ASUS ROG Mothership untuk penggemar permainan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JENAMA terkemuka dalam segmen permainan, ASUS Republic of Gamers (ROG) melancarkan sebuah lagi peranti gabungan laptop dan komputer terbina dalam satu (AIO), tetapi menawarkan prestasi mengagumkan setanding desktop kelas permainan yang berada di pasaran.

ASUS ROG Mothership GZ700 adalah hibrid atau gabungan kepada dua peranti iaitu laptop dan AIO namun kebiasaannya peranti jenis AIO mempunyai spesifikasi ‘biasa’ untuk tugasan di pejabat saja.

Namun, ASUS ROG menawarkan spesifikasi paling baik untuk kelas permainan apabila Mothership GZ700 dikuasakan dengan pemproses Intel Core i9 Generasi Kelapan iaitu i9-8950HK yang dipadankan dengan memori (RAM) DDR4 2666MHz menyokong sehingga 64GB.

Sistem storan bagi peranti hibrid ini menggunakan tiga slot M.2 NVMe PCIe 512GB SSD bagi menghasilkan kadar bacaan data lebih tinggi dan sesuai untuk mereka yang gemar bermain permainan dalam talian tanpa perlu bimbang terhadap gangguan prestasi.

Paling penting, peranti ini menggunakan kad grafik Nvidia GeForce RTX 2080 bersama skrin paparan definisi penuh (1920 x 1080) panel IPS bersama kadar segar semula 144Hz dan menyokong teknologi kad grafik Nvidia iaitu G-SYNC.

Ia memberi nilai tambah kepada pemiliknya kerana tidak banyak peranti yang didatangkan dengan skrin paparan dengan sokongan G-SYNC bersama kadar segar semula yang tinggi.

Sistem sokongan sambungan pula, peranti ini dilengkapi dengan Intel WIFI 6 802.11ax 2 x 2 gigabit sambungan tanpa wayar bersama BluetoothÆ 5.0.

Uniknya, ASUS ROG Mothership didatangkan dengan papan kekunci boleh lepas dan bergantung kepada pengguna untuk menggunakan dalam sambungan wayar ataupun tidak.

Papan kekunci berkenaan juga menggunakan lampu RGB untuk memberi nilai kosmetik kepada peranti berkenaan termasuk menyokong Aura-Sync jika ia disambungkan dengan wayar.

ASUS ROG Mothership sangat bersesuaian untuk individu yang mahu memiliki peranti berkuasa tinggi namun mudah untuk dibawa ke mana saja dan peranti ini bukan saja sangat bersesuaian untuk penggemar permainan sebaliknya turut sesuai bagi mereka yang sering melakukan tugasan sintesis video atau animasi.

ASUS ROG

• PEMPROSES: Intel Core i9-8950HK

• RAM: Menyokong sehingga 64GB DDR4 2666MHz

• SKRIN PAPARAN: 17.2 inci Panel IPS dengan kadar segar semula 144Hz

• KAD GRAFIK: Nvidia GeForce RTX 2080

• STORAN: 3 x M.2 NVMe PCIe 512GB SSD

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 9:46am
d