itmetro

AMD beri penjelasan kepada AS

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR pemproses terkemuka, Advanced Micro Devices (AMD) memberi penjelasan berhubung dakwaan berkaitan syarikat itu berkongsi teknologi CPU x86 kepada Sugon Information Industry iaitu sebuah pembuat super komputer yang disokong kerajaan China.

AMD tampil memberi penjelasan dengan menyatakan mereka memberitahu Jabatan Perdagangan, Jabatan Pertahanan dan beberapa agensi lain di Amerika Syarikat (AS) mengenai urusan yang terjalin dengan Sugon.

Ia tidak mendapat sebarang bantahan berkaitan usaha sama atau perkongsian teknologi dijalinkan oleh dua syarikat berkenaan.

Sebelum itu, satu laporan Wall Street Journal mendakwa AMD berkongsi teknologi penciptaan pemprosesan dengan syarikat berpangkalan di China itu.

AMD turut berpendapat laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal juga tidak menjelaskan butiran seperti ‘perlindungan penting’ yang ia akan menghalang China daripada mendapatkan teknologi berharga.

Namun begitu, laporan itu dikatakan sudah terlewat apabila Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat sudah sedia mengeluarkan arahan sekatan perdagangan ke atas pembuat superkomputer China, termasuk Sugon.

Ini bermakna AMD sudah memutuskan hubungan dengan syarikat itu dan masih tiada jaminan sama ada sekatan itu akan ditarik balik seperti Huawei ataupun tidak.

AS sebelum ini bimbang berhubung ancaman keselamatan oleh syarikat berpangkalan di China kerana ia didakwa digunakan kerajaan republik itu untuk tujuan pengintipan serta pembangunan ketenteraan.

Walaupun, halangan perniagaan kepada syarikat gergasi China iaitu Huawei sudah ditarik balik, masih ada beberapa syarikat yang masih dikenakan sekatan.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 8:27am
d