itmetro

FM20 pasti lebih mencabar

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MUNGKIN ramai yang mempunyai impian menjadi ketua jurulatih dalam arena bola sepak antarabangsa yang disegani sebaris dengan Pep Guardiola, Mauricio Pochettino ataupun bekas pengurus genius Manchester United (Man Utd) iaitu Sir Alex Ferguson.

Impian itu mungkin dapat dilaksana apabila pemain menguruskan pasukan kegemaran seperti Manchester United, Liverpool, Real Madrid, Juventus atau Paris Saint-Germain (PSG) dengan bermain permainan berkonsepkan pengurusan pasukan bola sepak.

Jika sedekad lalu, untuk platform desktop terdapat beberapa pengeluar permainan berkonsepkan pengurusan pasukan antaranya Championship Manager (CM), Football Manager (FM) dan Total Championship Manager (TCM).

Namun, beberapa judul permainan itu sudah tidak mengeluarkan siri permainan simulasi pengurusan pasukan kerana genre ini dilihat agak ‘berat’ memandangkan pemain perlu menghabiskan masa berjam-jam untuk mengulang kaji kekuatan di dalam pasukan.

Menerusi siri tahun lalu keluaran Sports Interactive iaitu Football Manager 2019 (FM19), permainan itu mendapat markah tinggi di dalam skor kritik sukan elektronik apabila memperoleh 86 markah dan rata-rata beranggapan bahawa ia sebuah permainan yang sangat realistik.

Penulis menghabiskan masa hampir 20 jam untuk memahami mekanikal permainan termasuk mengetahui setiap taktikal yang bersesuaian serta rejim latihan untuk peningkatan prestasi pemain.

Cadangan penulis adalah sesiapa yang mahu memasang permainan ini di komputer, perlu menyediakan sistem storan jenis SSD atau NVMe untuk mempercepatkan proses laju muat (loading) data.

Pemain perlu menghabiskan masa yang lama untuk menentukan

posisi paling sesuai untuk seseorang pemain supaya semua formasi taktikal akan lebih berkesan.

Contohnya, untuk membeli seseorang pemain, semua faktor perlu diambil kira iaitu kesesuaian formasi taktikal dan posisi sebenar pemain itu boleh bermain dengan baik.

Penulis pernah bermain CM kira-kira sedekad lalu dan ketika itu, latar permainan itu begitu mudah iaitu seorang pemain sayap (winger) adalah pemain sayap tanpa perlu menentukan posisinya.

Menerusi FM19, pengendali pasukan perlu menentukan seseorang pemain sayap itu diletakkan dalam posisi seperti ‘Inside Forward’, ‘False 9’ dan beberapa pilihan lain.

Tidak semua pemain boleh bermain dalam setiap posisi itu memandangkan mereka mempunyai posisi kegemaran dan ia mempengaruhi prestasi mereka di atas padang.

Penulis menjangkakan FM20 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi pastinya

akan menambah beberapa kriteria tertentu dalam permainan dan memberi cabaran luar biasa.

Untuk pemain yang lebih gemar genre santai tanpa menyakitkan kepala, penulis mencadangkan konsep permainan simulasi pengurusan pasukan bukan untuk anda kerana memerlukan ulang kaji dan ketelitian dalam merencanakan taktikal pasukan.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 9:05am
d