itmetro

Tunggu Oktober depan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JIKA anda peminat permainan berkonsep penembak pertama (FPS), sudah pasti anda tahu mengenai siri permainan ‘Call of Duty: Modern Warfare’ (COD: MW) yang pernah menjadi fenomena kira-kira sedekad lalu.

Watak seperti Kapten John Price, Kapten ‘Soap’ MacTavish, Sarjan Gary ‘Roach’ Sanderson dan beberapa watak penting lain menghidupkan jalan cerita judul berkenaan.

Bermula dengan Call of Duty: Modern Warfare sehingga kepada siri keempat, watak ini yang juga operator pasukan khas British, ‘Special Air Service’ (SAS) dan Task Force 141 melaksanakan misi penting ketika dunia berdepan dengan Perang Dunia Ketiga.

Kini, pembangunan permainan itu, Infinity Ward kembali dengan pelancaran Call of Duty: Modern Warfare 2019 namun sehingga kini tidak memperincikan berkenaan latar masa permainan itu sama ada ia adalah sambungan atau satu siri yang dibangunkan secara bersendirian.

Namun, berdasarkan analisis penulis apabila melihat semula garis masa empat siri COD: MW sebelum ini, memperlihatkan siri terbaharu menggunakan latar masa pada tahun ini iaitu 2019 iaitu kira-kira setahun selepas episod COD: MW 4.

Jadi, ia menunjukkan siri terbaharu adalah sekuel permainan kepada siri terdahulu dengan menampilkan watak utama Kapten John Price.

Bagaimanapun, wujud juga dakwaan bahawa siri permainan itu akan menggunakan latar masa berbeza iaitu COD: MW 2019 berdiri secara sendiri tanpa berkait dengan sekuel sebelum ini dan mungkin beberapa watak lain akan dihidupkan semula.

Berdasarkan video pra pelancaran rasmi berdurasi 1 minit 53 saat, Infinity Ward masih menggunakan kaedah sama dalam siri terbaharu mereka apabila pemain akan menggunakan watak sebagai operator pasukan khas dan menjalankan misi rahsia di seluruh dunia.

Tidak banyak maklumat yang didedahkan berdasarkan video prapelancaran berkenaan dan penulis hanya boleh berasakan bahawa konsep permainan yang ditonjolkan hampir sama dengan siri sebelum ini.

Cuma yang menjadi persoalan besar peminat siri ini adalah garis penceritaan dan konflik yang bakal ditampilkan oleh pembangun permainan berkenaan.

Infinity Ward berdepan cabaran besar untuk memenuhi harapan peminat siri COD: MW apabila boleh dikatakan keempat-empat siri menampilkan jalan cerita yang sangat baik di samping perkembangan beberapa watak sehingga menjadikan siri itu antara judul permainan paling epik.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung permainan ini, peminat perlu menunggu sehingga Oktober depan ketika pelancaran rasmi permainan itu untuk melihat sama ada ia adalah siri sekuel atau pun menggunakan latar masa yang berbeza.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 4:30am
d