itmetro

Fokus pengurusan acara

Oleh Muhammad Saufi Hassan

GOOGLE akan cuba melancarkan perkhidmatan media sosial baharu yang dikenali sebagai ‘Shoelace’ walaupun beberapa percubaan selama ini dilihat gagal selepas kurang mendapat sambutan pengguna Internet dunia.

Sebelum ini, Google pernah melancarkan beberapa perkhidmatan laman sosialnya iaitu Google+, Google Friend Connect dan beberapa usaha lain namun tidak begitu berjaya untuk menawan hati pengguna.

Terkini, Google meneruskan usaha untuk memberikan platform laman sosial yang baharu iaitu Shoelace yang memberi fokus kepada pengurusan acara.

Platform berkenaan bagi memudahkan pengguna menguruskan sesuatu acara mirip apa yang ditawarkan pada Facebook Events.

Berdasarkan laporan Android Police, Shoelace boleh katakan percubaan kedua Google selepas Schemer yang juga menawarkan perkhidmatan serupa.

Schemer dilancarkan pada 2011 namun akhirnya ditamatkan pada 2014 selepas tidak mendapat sambutan yang diharapkan dan Google terpaksa menamatkan perkhidmatan berkenaan.

Shoelace lebih memfokuskan kegunaan pada skala kecil terutama lokasi tumpuan sesebuah kawasan.

Ia membolehkan pengguna mengurus dan mengadakan sesuatu acara serta mengajak seseorang individu ke acara berkenaan.

Platform berkenaan sedang melalui proses ujian tertutup oleh sejumlah pengguna di New York dan sekiranya percubaan itu berjaya, ia mungkin akan diperkenalkan kepada lebih banyak lokasi.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 12:03pm
d