itmetro

Mobile Legends: Bang Bang tawar hadiah RM1.02 juta

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERMAINAN pertempuran arena dalam talian (MOBA), Mobile Legends: Bang Bang (ML:BB) akan menganjurkan Kejohanan Dunia ML: BB di Arena Axiata pada 11 hingga 17 November depan.

Kejohanan dunia itu menawarkan wang tunai terkumpul sebanyak RM1.02 juta dan bakal menyaksikan 16 pasukan daripada 14 negara akan berentap menguji kemahiran dalam permainan popular berkenaan.

Perkara berkenaan diumumkan ketika persidangan Moonton Epicon 2019 yang pertama kali dilaksanakan di negara ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kepada kejohanan dunia berkenaan.

Berdasarkan persidangan berkenaan, kejohanan itu dikenali sebagai M1 dan pihak Moonton menjanjikan penstriman langsung sepanjang kejohanan menerusi platform YouTube.

Kejohanan itu akan menyaksikan pasukan dari Asia Tenggara bakal menghantar peserta paling ramai iaitu dua pasukan masing-masing dari Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Kemboja, Vietnam, Laos, Jepun, Singapura, Myanmar dan Thailand pula masing-masing menghantar satu pasukan.

Selain pasukan dari Russia, Turki, Amerika Syarikat (AS) dan Brazil turut menyertai kejohanan itu.

Kejohanan bakal menjadi pentas utama memperlihatkan pasukan paling handal yang akan membawa pulang hadiah lumayan.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:56pm
d