itmetro

Vivo S1 tingkat keupayaan kamera swafoto

Oleh Muhammad Saufi Hassan

VIVO melancarkan peranti terbaru miliknya iaitu Vivo S1 hari ini dengan memberi fokus kepada keupayaan kamera swafoto.

Telefon pintar itu menggunakan pemproses Mediatek Helio P65 yang dipadankan bersama memori (RAM) 6GB untuk memastikan peranti berkenaan mampu melancarkan sebarang aplikasi.

Vivo S1 akan menggunakan tetapan tiga lensa yang mempunyai tugas tersendiri bagi menghasilkan imej berkualiti dan terperinci.

Kamera utama telefon pintar berkenaan menggabungkan lensa berkeupayaan 16 megapixel (MP) + 8MP + 2MP lensa kecerdasan buatan (AI).

Kamera swafoto pula akan menggunakan lensa 32MP dan ia sangat sesuai untuk golongan muda yang gemar memuat naik sebarang imej di akaun laman sosial mereka.

Skrin Vivo S1 berukuran 6.38 inci Definisi Tinggi Dipertingkatkan (HD+) serta menggunakan paparan Super AMOLED Ultra untuk menghasilkan tona warna lebih baik.

Peranti berkenaan menggunakan bateri berkapasiti 4,500mAh serta dilengkapi dengan fungsi berkembar pengecas pantas untuk memudahkan pengguna.

Vivo S1 akan menggunakan sistem operasi FunTouch 9 berasaskan kepada Android 9.0 Pie dan didatangkan dengan dua warna iaitu Diamond Black dan Skyline Blue.

Telefon pintar itu dijual pada harga RM1,099 serta pra tempahan telefon pintar berkenaan boleh dibuat pada Jumaat ini manakala jualan rasmi bermula pada Sabtu ini di semua kedai konsep Vivo dan pengedar sah jenama berkenaan.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 6:42pm
d