itmetro

FB ambil perhatian keresahan ibu bapa

Oleh Muhammad Saufi Hassan

APLIKASI pesanan Facebook untuk kanak-kanak (Facebook’s Messenger Kids) dicipta untuk melindungi pengguna laman sosial golongan itu menerusi sistem kebenaran kenalan yang dibenarkan penjaga mereka.

Bagaimanapun, pembinaan aplikasi itu menemui sisi berbeza apabila kanak-kanak boleh memasuki perbualan berkumpulan dengan orang asing walaupun pengguna berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada penjaga kanak-kanak terbabit.

Keadaan itu menimbulkan keresahan ibu bapa apabila mereka mengemukakan beberapa aduan kepada Facebook supaya meneliti semula infrastruktur keselamatan aplikasi terbabit.

Sehingga kini, Facebook belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung masalah berkenaan namun pengendali laman sosial terbesar itu sudah menutup secara senyap beberapa perbualan berkumpulan di dalam aplikasi berkenaan.

Sebuah portal melaporkan Facebook sebelum itu sudah menghantar pesanan peringatan kepada pengguna untuk melihat semula aplikasi berkenaan kerana wujud masalah dalam sistem keselamatan.

Pesanan peringatan itu disahkan benar oleh pengendali laman sosial terbabit dan usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan aplikasi berkenaan giat dilaksanakan.

Masalah keselamatan itu timbul apabila wujud ‘bug’ dalam mendapatkan pengesahan unik oleh pengguna dan Facebook sedang memperbaiki masalah itu.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 10:30am
d