itmetro

Microsoft labur RM4 bilion

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MICROSOFT melabur RM4 bilion untuk membangunkan makmal milik 'OpenAI' termasuk makmal kajian bagi penyelidikan kecerdasan buatan umum (AGI).

Pelaburan ini menjadikan Microsoft sebagai syarikat eksklusif yang menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awanan ke OpenAI dan mereka akan bekerjasama dengan syarikat lain untuk membangunkan teknologi baharu.

OpenAI juga akan memberi lesen teknologinya untuk dikomersialkan walaupun belum diumumkan bentuk teknologi dan perkongsian pada depan.

Secara umum, OpenAI bermula sebagai makmal penyelidikan bukan keuntungan pada 2015.

Ia bertujuan menyamai syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi seperti Google atau Amazon sambil memberi tumpuan kepada pembangunan AI dalam cara yang selamat serta demokratik.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, OpenAI berkata, ia memerlukan lebih banyak wang untuk meneruskan penyelidikan dan menubuhkan firma baharu bagi mencari pelaburan luar.

Untuk menarik lebih banyak pelaburan, OpenAI sudah membuat janji yang agak keterlaluan mengenai potensi teknologinya sehingga mencetuskan persoalan umum.

Pelaburan Microsoft dalam makmal berkenaan antara lain usaha OpenAI untuk meneruskan usaha mereka dan dilihat syarikat itu bakal mendominasi teknologi yang dipelopori oleh OpenAI kelak.

Bagi menghalang ketamakan pelabur, OpenAI beroperasi sebagai entiti keuntungan yang terbatas.

Ia bermakna, sesiapa saja yang melaburkan wang hanya boleh menjangka pulangan 100 kali pelaburan mereka.

Setakat ini, pengkaji di makmal berkenaan mampu untuk menghasilkan perisian AI bersifat 'Super Manusia' pada ciri-ciri khusus untuk kegunaan industri tertentu.

Bagaimanapun, perisian berkenaan masih terbatas dan tidak mampu untuk melaksanakan tugas seperti manusia biasa serta masih memerlukan pemantauan berterusan.

Teknologi AGI antara lain menyasarkan sistem AI yang mampu meniru corak kelakuan manusia dan melaksanakan tugasan serta peranan membuat keputusan yang hampir sama dengan manusia.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 9:01am
d