itmetro

Malaysia boleh terajui segmen animasi Asia Tenggara

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PEMBABITAN Malaysia dalam dunia teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini boleh dibanggakan apabila beberapa judul animasi turut mendapat perhatian negara maju.

Animasi Upin & Ipin serta BoBoiBoy antara platform yang membuktikan bahawa Malaysia tidak ketinggalan dalam pembikinan animasi yang baik dan berkualiti malah arus kemajuan dunia teknologi di negara ini terus berkembang pesat.

Berdasarkan pandangan pakar dan pemain industri, kandungan digital serta industri teknologi kreatif di negara ini memainkan peranan yang penting bagi segmen ekonomi digital.

Sejak 2018, industri berkenaan di negara ini sudah membawa pendapatan sejumlah RM7.46 bilion dengan jualan eksport global sebanyak RM1.3 bilion dan keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan mahir berkaitan kandungan digital serta industri teknologi kreatif.

Selain daripada kejayaan dua judul animasi berkenaan, kemahiran anak tempatan dalam industri berkenaan sudah diperakui seperti Ketua Pereka Permainan bagi Final Fantasy XV iaitu Wan Hazmer termasuk seorang lagi yang menjadi Pereka Konsep untuk permainan Street Fighter V iaitu Daim Dziauddin.

Dua anak tempatan ini seterusnya bergabung serta membuka syarikat pembangun permainan dikenali Metronomik pada 2017 dan produk pertama mereka akan dilancarkan awal 2020 iaitu permainan EDM yang akan menggunakan dua platform utama, konsol Playstation dan desktop.

Permainan berkenaan yang diberi judul 'No Straight Roads' dan pemain boleh mengawal karektor sebagai seorang anggota kumpulan muzik indie.

Berdasarkan daripada laporan Newzoo menyatakan bahawa segmen pasaran bagi permainan di Asia Tenggara akan menjana kira-kira RM16 bilion pada tahun ini dan ia diklasifikasikan sebagai segmen paling pantas berkembang.

Kejayaan berkenaan adalah hasil daripada sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memastikan segmen digital di negara ini terus berkembang.

Timbalan Presiden Kandungan Kreatif dan Teknologi, MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan perkembangan segmen berkenaan kerana ia mempunyai masa depan yang sangat baik.

“Seperti yang saya katakan, negara ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi peneraju segmen animasi bagi Asia Tenggara dan MDEC sentiasa akan memberi sokongan,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 4:35pm
d