itmetro

Telefon pintar kelas perdana

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SAMSUNG Malaysia Electronics (SME) baru-baru ini melancarkan telefon pintar kelas perdana daripada siri Galaxy Note10 yang menggabungkan prestasi peranti bersama rekaan yang sangat baik.

Peranti terbaharu keluaran Samsung itu mula dilancarkan secara global awal Ogos lalu di New York, Amerika Syarikat (AS) dan pada minggu lalu, peranti berkenaan dilancarkan untuk segmen pasaran tempatan.

Presiden Samsung Malaysia, Yoonsoo Kim berkata, pelancaran Samsung Galaxy Note10 adalah bukti Samsung sentiasa mencipta sesuatu inovasi yang memberi manfaat kepada orang ramai.

Menurutnya, penghasilan Galaxy Note10 adalah penggabungan prestasi telefon pintar yang mempunyai spesifikasi umpama sebuah laptop dan pemilik peranti baharu ini boleh merasai pengalaman penggunaan telefon pintar yang sangat berbeza.

“Pada kali ini, Samsung memperkenalkan dua varian Galaxy Note10 dan ia adalah satu revolusi inovasi daripada aspek rekaan, kreativiti, produktiviti dan prestasi.

“Menerusi semua ciri terbaharu yang dimuatkan di dalam peranti berkenaan, kami mempunyai keupayaan bukan saja untuk merakam detik indah sebaliknya menggunakan peranti untuk sebarang kemungkinan masa depan,” katanya.

Kim berkata, telefon pintar berkenaan didatangkan dengan dua varian iaitu untuk varian biasa dikenali sebagai Galaxy Note10 manakala bagi kelas premium adalah Note10+.

Katanya, Galaxy Note10 dan Note10+ berkapasiti storan 256GB akan dijual di pasaran tempatan pada harga masing-masing RM3,699 serta RM4,199 manakala untuk Note10+ (512GB) dijual pada harga RM4,799.

Galaxy Note10 akan didatangkan dengan tiga warna iaitu Auro Glow, Aura Black dan Aura Pink manakala Note10+ Aura Black, Aura White dan Aura Glow.

Menurutnya, Samsung juga menawarkan ekosistem yang baik untuk peranti berkenaan apabila ia boleh disambungkan kepada jam pintar Galaxy Watch Active 2 dan tablet seperti Galaxy Tab S6 untuk membolehkan pengguna sentiasa bersedia dengan peranti yang ada.

Samsung juga masih mengekalkan beberapa perkhidmatannya iaitu Samsung Pay yang membolehkan transaksi dilakukan secara terjamin manakala Samsung Health akan terus menjadi pemantau kesihatan kepada pemakainya.

Selain itu, tahap keselamatan peranti milik Samsung turut dijamin menerusi Samsung Knox yang memelihara data maklumat pengguna daripada menjadi mangsa serangan siber.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 1:22pm
d