itmetro

Laptop kaki game bajet

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEBIASAANNYA, laptop kelas permainan atau prestasi sememangnya mempunyai tanda harga yang tinggi memandangkan ia didatangkan dengan perkakasan paling terkini terutamanya bagi pemproses, kad grafik dan jenis binaan memori (RAM).

Namun, pengeluar laptop terkemuka, Lenovo bijak untuk memenuhi segmen pasaran laptop bagi kelas permainan, namun memberikan tanda harga yang lebih relevan berbanding beberapa jenama lain.

Menerusi laptop terbaharu mereka iaitu Lenovo Legion Y540-15IRH memberikan kepuasan yang berbaloi bagi pengguna yang mahukan sebuah peranti yang mempunyai tanda harga yang baik selain perkakasan terkini.

Legion Y540 ini menggunakan pemproses Intel Core i7-9750H yang dipadankan bersama jenis DDR4 8GB untuk membolehkan sebarang perisian dilaksanakan terutamanya bagi tugasan berat seperti permainan atau sintesis video serta animasi.

Laptop ini mengguna kad grafik generasi terbaharu Nvidia iaitu Nvidia GeForce RTX2060 yang mempunyai kapasiti memori video (VRAM) 6GB untuk pemprosesan sebarang tugasan grafik, animasi, sintesis atau permainan.

Bagi sistem storan data, Legion Y540 menggunakan 1TB untuk cakera keras konvensional manakala bagi pemprosesan sistem operasi Windows menggunakan sistem storan terkini iaitu 256GB SSD.

Legion Y540 menggunakan skrin paparan IPS berukuran 15.6 inci dan resolusi 1920 x 1080 serta paparan berkenaan memberikan kadar segar semula 144Hz sesuai untuk kaki game yang mahukan responsif pantas.

Papan kekunci peranti ini menggunakan cahaya putih yang boleh dihidupkan serta dimatikan mengikut kesesuaian pengguna dan ia memberi nilai kosmetik pada peranti berkenaan.

Penulis menggunakan laptop ini untuk ujian beberapa permainan yang diketahui memerlukan spesifikasi tinggi seperti Assassin’s Creed Odyssey dan hasilnya agak mengagumkan.

Ketika penulis melancarkan permainan ini, laptop Legion Y540 mampu memberikan suhu yang sederhana dan kadar bingkai sesaat (FPS) untuk permainan itu sekitar 40 hingga 50.

Walaupun kadar bacaan itu dibawah 60 FPS pada atur cara grafik tahap tinggi, namun ia agak baik dan latar permainan tidak mengalami sebarang masalah.

Tidak semua laptop mampu untuk melaksanakan permainan berkenaan kerana ia adalah sebuah permainan yang menggunakan hampir semua keupayaan grafik memandangkan ia adalah permainan dunia terbuka.

Haba yang terhasil daripada laptop berkenaan juga boleh dibanggakan apabila selepas beberapa jam penulis bermain, tidak begitu terasa haba di atas papan kekunci seperti peranti jenama lain.

Secara keseluruhannya, laptop ini mempunyai potensi yang besar dan sesuai untuk pengguna atau kaki ‘games’ yang mahukan peranti pada kadar harga yang relevan, namun tidak mengorbankan prestasi peranti.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 1:39pm
d