itmetro

Zahirkan bakat menerusi TikTok

Oleh Mohd Al Hafiz

SIAPA sangka rakyat Malaysia paling gemar dengan kandungan jenaka dalam aplikasi video pendek berdurasi 15 saat yang popular iaitu aplikasi TikTok.

Baru-baru ini platform video pendek terkemuka dunia itu mengadakan acara [REC]reate TikTok 2019 bagi Persidangan Pemasaran Kandungan Asia Tenggara Antara Komuniti Video TikTok yang pertama kali diadakan di Marina Bay Sands, Singapura.

Lebih 300 pencipta dan pemasar dari Malaysia dan seluruh Asia Tenggara bekerjasama memberikan pandangan berhubung bagaimana pencipta serta pemasar dapat memanfaatkan platform TikTok.

Kajian TikTok mendapati kandungan video pendek jenaka mengungguli jumlah pengguna aplikasi itu di Malaysia diikuti dengan segmen fesyen, bakat, makanan dan sukan.

Golongan yang berumur sembilan hingga 24 tahun dikategorikan sebagai Generasi Z dan 98 peratus golongan berkenaan memiliki telefon pintar.

Pengguna digital Asia Tenggara adalah pengguna paling aktif menerusi peranti pintar mereka dan golongan berkenaan menghabiskan hampir empat jam sehari bersama peranti mereka.

Menerusi [REC]reate TikTok komited bekerjasama bagi menghasilkan kandungan video yang berpandukan pengetahuan untuk kekal berhubung dengan pengguna aktif mereka selari peningkatan Generasi Z dalam pemilikan telefon pintar.

Pengarah Pemasaran Global TikTok, Lionel Sim berkata, generasi Z memiliki idea dan kreativiti yang tinggi jadi mereka memerlukan platform untuk menzahirkan bakat yang dimiliki dan cenderung untuk mendapat perhatian.

Pada masa sama, Pengarah Kandungan Pengguna Operasi TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata, aplikasi itu optimis untuk membimbing pencipta bersama-sama dalam mewujudkan kempen dalam menghasilkan video pendek lebih kreatif dan berinovasi.

“Dengan komuniti pencipta kandungan, kami akan melancarkan lebih banyak perkongsian dalam kempen tempatan dan membuat pelaburan yang besar untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi kreatif Malaysia,” katanya.

TikTok mahu terus releven di rantau ini dengan mewujudkan kempen seperti #TikTokTravel. Kewujudan perkongsian idea daripada persidangan itu, TikTok mahu terus bekerjasama dengan pencipta dalam mewujudkan kempen tempatan.

Antara kandungan dan kempen paling menarik yang dibuat di negara ini menerusi platform TikTok termasuk #BetterMeBetterInternet (74 juta tontonan), # myearthhour2019 (lima juta tontonan) dan #experiencepenang (22 juta tontonan).

Menerusi teknologi dan fleksibiliti platform berkenaan, ramai yang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap pengguna TikTok, terutama mengenai jenis kandungan yang dimilikinya.

TikTok menjelaskan ia sudah membangunkan satu dasar dan alat untuk mempromosikan persekitaran dalam aplikasinya yang positif untuk memastikan platform itu menyeronokkan serta selamat untuk semua orang.

Sesetengah garis panduan komuniti termasuk larangan yang ketat untuk menyiarkan, berkongsi atau mempromosikan kandungan berbahaya, bahan bogel atau bahan seksual, pelanggaran keselamatan kanak-kanak, gangguan atau ‘cyberbullying’ dan kandungan berniat jahat.

Syarikat itu mengingatkan misinya adalah untuk mempersembahkan kreativiti, pengetahuan dan detik berharga di dunia sebagai komuniti global kolektif yang berkembang maju dalam kreativiti dan ekspresi.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuk membiarkan pengguna menetapkan akaun mereka secara peribadi untuk tontonan dan penghantaran kandungan.

Fungsi pelaporan juga ada untuk kandungan yang tidak sesuai, seperti penyalahgunaan, spam, atau apa pun yang melanggar dasar komuniti TikTok.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 1:43pm
d