itmetro

'15th Malaya Regiment' hidupkan ARMA

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Judul permainan seperti ‘Operation Flashpoint’ mungkin tidak popular seperti francais ‘Call of Duty’ (COD) memandangkan ia jenis permainan simulasi ketenteraan realistik.

Namun, Operation Flashpoint sudah lama berkubur dan kini dominasi permainan bagi segmen simulasi ketenteraan adalah 'ARMA III' yang diterbitkan pada 2013.

Bagi pemain yang lebih gemar permainan tembak-menembak tanpa henti, penulis berasakan ARMA bukan untuk anda kerana judul ini penuh dengan strategi ketenteraan, komunikasi antara satu sama lain.

Untuk pertempuran, penulis berasakan sekitar 40 peratus daripada keseluruhan kerana banyak masa dihabiskan untuk mendengar penjelasan komander dan melakukan atur gerak kepada lokasi misi.

Penulis tidak berhasrat menceritakan lanjut berhubung pembangunan permainan ini kerana ia dilancarkan beberapa tahun lalu oleh Bohemia Interactive.

Mungkin masih ramai pemain atau peminat sukan elektronik kurang mengetahui konsep permainan berkenaan kerana ia menjurus kepada permainan simulasi dan bukannya seperti siri penembak pertama (FPS) yang lain.

Penulis pernah membesar dengan lima francai simulasi ketenteraan iaitu Operation Flashpoint (OF) bermula daripada siri OF:Cold War Crisis pada 2001 sehingga kepada OF:Red River (2011).

Lima siri OF itu diterbitkan secara bersama oleh pembangun ARMA iaitu Bohemia Interactive dan Codemasters namun selepas 2011, Bohemia Interactive bertindak sendiri untuk melancarkan ARMA yang lebih moden, sofistikated dan konsep menyeluruh simulasi ketenteraan.

Penulis juga melihat komuniti simulasi ketenteraan di negara ini semakin berkembang dan mempunyai peminatnya tersendiri dengan kewujudan komuniti Facebook (FB) dikenali sebagai '15th Malaya Regiment'.

Komuniti berkenaan mempunyai 1,700 pengikut dan aktif di FB menerusi streaming mereka termasuk pelbagai misi unik yang menggunakan mod kosmetik mirip Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi yang tertanya-tanya konsep permainan ARMA, penulis mencadangkan pemain baharu perlu meninjau terlebih dulu konsep simulasi ketenteraan kerana tidak semua individu berminat dalam konsep itu.

Kebanyakan pemain lebih gemar kepada aksi tembak-menembak tanpa henti seperti yang dipamerkan oleh COD namun ARMA generasi permainan berbeza yang menampilkan konsep realistik.

Jika anda bermain dengan pemain lain menerusi mod misi, komunikasi dan pembahagian kelas askar pejalan kaki (infantri) sangat penting bermula daripada kelas sokongan sehingga kepada medik, semua adalah penting untuk kejayaan keseluruhan misi.

Penulis juga mencadangkan kepada pemain baharu untuk menyertai komuniti ARMA tempatan iaitu 15th Malaya Regiment memandangkan komuniti itu aktif di laman sosial.

Konsep simulasi permainan sememangnya adalah konsep yang sangat berat bagi pemain kasual, namun ia memberi pengalaman yang sangat berbeza berbanding judul lain.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 8:53am
d