itmetro

Samsung naik taraf siri Galaxy A

Oleh Muhammad Saufi

SAMSUNG Electronics Malaysia hari ini melancarkan dua peranti kelas pertengahan mereka iaitu Samsung Galaxy A30S dan Galaxy A50S.

Selain itu, Samsung turut menaik taraf semua empat peranti kelas pertengahan mereka bagi siri Galaxy A iaitu A10S dan A20S sesuai dengan keperluan pengguna semasa.

Bagi spesifikasi A50S, peranti berkenaan menampilkan keupayaan kamera tetapan tiga lensa iaitu kamera utama berkemampuan 48 megapixel (MP), lensa kedua 8MP sudut ultra lebar dan 5MP kamera sensor kedalaman untuk menghasilkan gambar lebih berkualiti.

Berbanding model terdahulu iaitu Galaxy A50 yang hanya menggunakan 25MP saja, padanan spesifikasi baru itu sesuai untuk generasi Z yang berkait rapat dengan platform media sosial.

Ketua Bahagian Pemasaran Produk, IT dan Perniagaan Mudah Alih Samsung Malaysia, Luke Au berkata, syarikatnya melihat bahawa trend generasi muda adalah memerlukan peranti yang mempunyai tanda harga berpatutan selain keupayaan prestasi kamera yang baik.

"Keupayaan kamera bagi peranti Galaxy A50S lebih baik dibandingkan dengan telefon pintar kelas premium pada tahun lalu iaitu Samsung Galaxy S9.

"Kamera peranti ini menghasilkan gambar lebih jelas dan mampu untuk beroperasi dalam keadaan kurang pencahayaan tanpa sebarang masalah," katanya.

Bagi kedua-dua peranti itu, skrin berkeluasan 6.4 inci menggunakan paparan Super AMOLED dan kapasiti bateri 4,000mAh dengan teknologi pengecasan pantas 15W.

Ia juga didatangkan dengan tiga warna iaitu Prism Crush Black, Prism Crush White dan Prism Crush Green dengan rekaan holografik geometri dibahagian belakang peranti.

Ciri premium lain yang digunakan adalah sistem imbasan cap jari di bawah skrin yang biasanya digunakan untuk peranti kelas premium.

Menyentuh aspek spesifikasi, Galaxy A50S dikuasakan dengan pemproses Exynos 9611 yang menggunakan rekaan 10nm selain dipadankan keupayaan memori (RAM) 6GB untuk memastikan kelancaran sebarang aplikasi.

Manakala bagi Galaxy A30S dikuasakan dengan pemproses Exynos 7904 dan dipadankan RAM 4GB untuk kelancaran operasi.

Harga yang ditawarkan bagi Galaxy A50S adalah RM1,299 manakala A30S RM899 dan pengguna boleh mendapatkan peranti itu pada 21 September ini menerusi rakan niaga Samsung atau penjual bertauliah.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 12:40pm
d