itmetro

Pemproses prestasi tinggi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR pemproses terkemuka untuk platform komputer, Advanced Micro Devices (AMD) dilihat akan meneruskan penguasaan dalam segmen berkenaan melalui pelancaran kelas pemproses prestasi tinggi mereka iaitu Threadripper generasi ketiga.

Beberapa bulan lalu, syarikat itu melancarkan siri Ryzen generasi ketiga yang memberikan prestasi lebih baik, malah sudah menewaskan pencabar terdekat mereka iaitu Intel.

AMD dilaporkan akan melancarkan Threadripper pada November ini dengan kod nama AMD Ryzen 9 3950X.

Pemproses jenis itu akan menawarkan kuasa prestasi bermula 16 teras dengan 32 thread dan bakal meneruskan penguasaan syarikat berkenaan dalam segmen pengeluar pemproses.

Dalam satu kenyataan, AMD melihat wujud permintaan yang konsisten terhadap pemproses kelas Threadripper miliknya yang memberikan kuasa prestasi maksimum kepada pengguna.

“Memang diakui wujud permintaan yang begitu baik untuk pemproses kelas prestasi tinggi generasi ketiga keluaran syarikat kami dan optimis akan melancarkannya pada November ini,” katanya.

AMD yakin, pelancaran pemproses baharu itu akan menjadikan syarikat berkenaan menjadi yang pertama di dunia mengeluarkan pemproses desktop arus perdana dilengkapi 16 teras.

Bagi pemproses kelas Threadripper yang dibina menerusi reka struktur Zen 2, ia turut didatangkan dengan pemproses berkeupayaan 24 teras.

Khabar angin menyatakan, AMD melakukan persiapan untuk turut melancarkan pemproses kelas sama dengan kuasa 32 teras bersama 64 thread dan ia diberi kod nama ‘Sharktooth’.

Berdasarkan ujian prestasi awal yang tertiris menunjukkan pemproses berkenaan mencatatkan markah bagi prestasi teras tunggal sebanyak 1,275 manakala bagi prestasi pelbagai teras, 23,015.

Markah itu secara tidak langsung menunjukkan pemproses generasi ketiga itu mencatatkan kelajuan 70 peratus lebih baik berbanding model terdahulu iaitu Threadripper 2990WX.

Pengumuman AMD berhubung pelancaran pemproses kelas prestasi tinggi mereka tergendala dalam suatu tempoh berikutan permintaan yang tinggi untuk permintaan cip pemproses rekaan 7nm.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 9:18am
d