itmetro

Papar mood peperangan sebenar

Oleh Muhammad Saufi Hassan

GRAFIK terperinci, konsep permainan yang kompleks dan pemain bergerak secara solo atau bersama rakan sehingga tiga orang.

Itu yang boleh disimpulkan secara keseluruhan permainan terbaharu keluaran Ubisoft iaitu ‘Tom Clancy’s Ghost Recon: Breakpoint’ (TCGR: Breakpoint) yang dilancarkan minggu lalu.

Rata-rata pengkritik permainan memberi pujian kepada hasil seni elektronik terbaharu Ubisoft yang menampilkan elemen ‘kelangsungan’ hidup seorang anggota tentera pasukan khas yang diburu kumpulan pengganas terlatih.

Judul ini tidak menampilkan elemen peperangan konvensional yang biasa dalam dunia permainan apabila pemain boleh menembak, berlari dan berselindung dengan baik walaupun sudah beberapa kali ditembak musuh.

TCGR: Breakpoint menampilkan sisi berbeza apabila pemain bergelut dengan kecederaan sendiri.

Elemen ‘survival’ sebenar ini menjadikan judul terbaharu Ubisoft begitu dinantikan oleh semua pihak dan rata-rata mahu merasai mod peperangan sebenar selain disokong kekuatan kesan grafik yang tampak realistik.

Menyentuh senario permainan, pemain akan menggunakan karakter ‘Nomad’ iaitu Ketua Skuad Khas Delta Company, Batalion Pertama, Pasukan Khas Kelima angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai ‘Ghosts’.

Ia adalah pasukan fiksyen dan siri terbaharu ini masih menggunakan konsep permainan sama iaitu penembak taktikal serta menampilkan dunia terbuka (open world).

Konsep permainan untuk siri terbaharu ini menampilkan ciri ‘survival’ sebenar apabila pemain yang cedera di kaki akibat ditembak berdepan kesukaran untuk berlari dan berjalan terhincut-hincut.

Jika ditembak di tangan atau bahu, pemain berdepan kesukaran untuk membidik dan menembak musuh. Ia konsep baharu yang lebih realistik, namun pemain boleh memulihkan diri menerusi pek ‘medkit’ yang dijumpai dalam permainan.

Bagi TCGR: Breakpoint, pemain akan menjadi individu buruan dan jumlah peluru serta kelengkapan persenjataan akan menjadi begitu terhad.

Latar masa permainan ini akan menggunakan sebuah kepulauan fiksyen di Pasifik yang dikenali sebagai Pulau Aurora yang menempatkan fasiliti syarikat Skell Technology yang membekalkan dron kecerdasan pintar.

Bagaimanapun, fasiliti itu sudah ditakluk sebuah lagi pasukan tentera ‘jahat’ dikenali sebagai ‘Wolves’ dan tambah menariknya, pasukan musuh diketuai bekas Ghosts iaitu Cole D Walker.

Oleh itu, setiap pergerakan, operasi dan kaedah untuk melaksanakan tugasan mudah untuk diramal musuh dan Wolves akan memburu pasukan Ghosts secara berkumpulan.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 11:11am
d