itmetro

Garmin Venu pantau kesihatan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGGUNA yang mahu merekod gaya hidup aktif di samping tidak mengabaikan cara hidup moden boleh memilih jam pintar terbaharu keluaran Garmin iaitu siri Garmin Venu.

Jam pintar berkenaan memberikan pengguna jejak trend seharian di samping tidak mengabaikan aplikasi gaya hidup moden sesuai dengan keperluan pengguna masa kini.

Menerusi spesifikasinya, Garmin Venu didatangkan dengan skrin pemuka 1.2 inci dengan keupayaan paparan AMOLED dan resolusi 390 x 390 pixels.

Pengguna boleh memantau pelbagai aktiviti antaranya kadar tekanan, keupayaan tubuh, pengesan aktiviti bersama sistem pengesanan global (GPS) dan pelbagai aplikasi lain.

Peranti itu turut direka untuk tahan air pada tahap 5ATM dan sangat bersesuaian bagi individu yang gemar melakukan aktiviti di air manakala keupayaan baterinya mampu bertahan sehingga lima hari.

Eksekutif Pemasaran Aeco Technologies (M) Sdn Bhd, Dickson Cheah berkata, peranti itu dilengkapi GPS dan pemantau kecergasan yang tidak akan menjejaskan fesyen pemakainya berdasarkan talinya yang boleh ditukar ganti.

“Produk ini mempunyai ciri-ciri sukan dan fesyen yang terbaik. Sebelum ini, kekuatan kami terletak pada bahagian sukan, tetapi mula melangkah dalam bidang fesyen dan gaya hidup dalam beberapa tahun ini.

“Kami mahu menyasarkan golongan muda, pengembara dan mereka yang aktif dalam sukan,” katanya.

Cheah berkata, pemakainya dapat menjejaki waktu tidur mereka, kadar denyutan jantung, langkah yang diambil sehari, tahap tekanan dan bagi wanita, ia juga menawarkan jejak kitaran haid menerusi aplikasi Garmin Connect.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 11:17am
d