itmetro

COD: MW 2019 satu siri prekuel atau nafas baru?

Oleh Muhammad Saufi Hassan

WALAUPUN judul permainan Call of Duty: Modern Warfare 2019 (COD: MW 2019) sudah dilancarkan secara global sejak 25 Oktober lalu, namun masih wujud teka teki berhubung siri berkenaan.

Penulis tidak terkecuali apabila berjaya menamatkan misi kempen dalam tempoh sekitar 10 jam permainan dalam tahap kesukaran ‘Hardened’ berikutan klip video akhir permainan itu yang memaparkan watak utama iaitu Kapten John Price atau Kapten ‘Price’ bersama wakil Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) Kate Laswell.

Dalam klip video pendek berkenaan memaparkan Kapten Price mahu menubuhkan pasukan khas dikenali ‘Task Force 141’ sekali gus mengaitkan siri permainan terdahulu bermula COD: Modern Warfare pertama sehingga siri ketiga, kira-kira tujuh tahun lalu.

Karektor Kapten Price dalam video berkenaan juga menyebut beberapa watak yang pernah popular dalam siri Call of Duty iaitu Kyle ‘Gaz’, John ‘Soap’ MacTavish dan Simon ‘Ghost’ Riley.

Masih tidak jelas adakah pembangun permainan itu, Infinity Ward mahu melakukan nafas baru kepada siri COD dengan beberapa lagi kemunculan judul sama pada masa depan atau COD: MW 2019 adalah siri prekuel sebelum episod Modern Warfare pertama yang diterbitkan tujuh tahun lalu.

Kesemua watak yang disebut ketika klip penghujung misi akhir berkenaan menceritakan keadaan yang berlaku dalam tiga siri permainan berkenaan.

Secara keseluruhannya, COD: MW 2019 memberikan kesan tersendiri malah jalinan plot antara misi begitu terperinci dan pemain seolah-olah dapat merasakan bahawa mereka memainkan watak berkenaan secara nyata.

Konsep pertempuran ketenteraan ala unit khas juga dilaksanakan dengan begitu teliti menerusi beberapa misi termasuk satu misi untuk mempertahankan kedutaan dan misi berkenaan adalah sangat mirip dengan filem ‘13th Hours : The Secret Soldier of Benghazi’.

Infinity Ward membangunkan semula siri COD dengan berjaya apabila pengakhiran judul berkenaan dipenuhi dengan tanda tanya dan ia suatu yang baik untuk siri seterusnya jika mereka mahu memberikan nafas baru buat siri fenomena COD.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 3:56pm
d