itmetro

Konsep permainan sangat mendatar

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JUDUL permainan ‘Death Stranding’ begitu besar walaupun sebelum pelancarannya memandangkan permainan itu dibina pereka kelas dunia, Hideo Kajima yang sangat popular dengan siri penembak taktikal, ‘Metal Gears’.

Segelintir pengkritik permainan melabelkan peminat permainan Death Stranding sebagai satu ‘kultus permainan sesat’ kerana melihat kepada figura di belakang judul itu iaitu Hideo sendiri.

Walaupun siri Metal Gears hasil idea Hideo begitu mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia, ia tidak memberi jaminan karya baharu keluarannya iaitu Death Stranding akan lebih baik.

Penulis lebih berpandangan jalan cerita Death Stranding bersifat sekata, tiada plot mencemaskan sebaliknya semua pada skala mendatar dan perkara yang mengujakan hanya keupayaan grafik permainan itu.

Konsep permainan ini agak mudah iaitu watak utama atau pemain perlu membawa barangan dari titik A ke lokasi lain dan itu adalah konsep keseluruhan permainan berkenaan.

Watak utama adalah Sam yang perlu berdepan dengan makhluk ghaib dikenali ‘BTs’ dan Sam membawa tangki fetus di depannya serta ia berupaya mengesan kehadiran makhluk berkenaan.

Ciri unik yang boleh dibanggakan adalah Hideo menampilkan konsep kritikal apabila pemain perlu memikirkan berat atau jumlah barangan yang dibawa dan keadaan itu akan mempengaruhi pergerakan watak mereka.

Ia bermaksud pemain perlu melakukan sedikit pengiraan atau berdasarkan logik untuk membawa bebanan maksimum dan menghantarnya ke satu lokasi lain.

Bagi pemain yang lebih gemar dengan susunan aksi atau plot yang lebih mencemaskan, Death Stranding bukan permainan yang sesuai untuk anda.

Sebaliknya, anda akan berasa sangat bosan dengan konsep permainan yang sangat mendatar walaupun judul berkenaan menawarkan keupayaan grafik paling mengagumkan.

Berdasarkan beberapa portal kritikal permainan menyatakan pemain perlu menghabiskan masa selama 50 hingga 60 jam permainan untuk menamatkan kempen.

Permainan itu tidak terhenti dengan tempoh berkenaan sebaliknya Death Stranding mempunyai video akhir berdurasi 120 jam dan pemain boleh melihatnya umpama panggung wayang.

Secara keseluruhan, penulis tidak menyifatkan permainan ini terlalu baik dan tidak pula terlalu teruk sebaliknya ia sesuai dengan pemain yang gemar gaya permainan lebih santai.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 10:01am
d