itmetro

Jalan cerita mudah difahami

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MENJADI seorang Jedi, bertarung menggunakan pedang cahaya atau ‘light saber’ dan latar masa di dalam Star Wars.

Itu yang ditawarkan kepada pemain untuk judul ‘Star Wars Jedi: Fallen Order’ yang menawarkan keupayaan kesan grafik yang sangat baik.

Ia permainan dibangunkan oleh Respawn Entertainment dan diterbitkan oleh gergasi permainan dunia, EA yang mempertaruhkan kelicinan gerak serta kesan grafik yang sangat baik.

Bagi peminat siri Star Wars pastinya tidak melepaskan peluang bermain permainan siri ini selepas mod permainan tunggal untuk siri Star Wars kali terakhir diterbitkan 13 tahun lalu.

Sebenarnya, permainan itu bukan saja untuk peminat siri Star Wars malah pemain baharu yang langsung tidak mengenali dunia Star Wars boleh cuba bermain kerana jalan ceritanya agak mudah untuk difahami secara keseluruhan.

Bagaimanapun, sedikit kebimbangan apabila wujud pelbagai rungutan daripada pemain menggunakan platform desktop yang menghadapi masalah ketika bermain seperti skrin beku untuk sesetengah babak.

Pastinya, Respawn Entertainment akan melancarkan kemas kini terbaharu tidak lama lagi untuk mengatasi masalah berkenaan supaya judul berkenaan tidak menjadi gah pada nama, namun konsep permainan yang membosankan.

Penulis meluangkan masa bermain hampir 10 jam dan apa yang ketara permainan berkenaan sebenarnya sangat bergantung kepada penawaran kesan grafik manakala perkembangan watak begitu mendatar.

Pemain akan menggunakan watak Cal Kestis dan boleh diandaikan watak utama itu adalah pengikut Order Jedi apabila mampu menggunakan kuasa Order berkenaan selain keupayaan bermain pedang cahaya.

Selain keupayaan grafik, Respawn Entertainment bijak untuk memonopoli senjata utama Order Jedi iaitu pedang cahaya dan semua pergerakan begitu mirip dengan filem Star Wars selain pedang itu memiliki keupayaan pemusnah yang dahsyat.

Cabaran untuk pemain apabila Cal Kestis menjadi buruan kepada tentera elit atau Pemburu Jedi yang dikenali sebagai The Second Sister dan pemain akan menghadapi sedikit kesukaran jika berdepan dengan tentera elit ini.

Keupayaan pemain akan lebih pelbagai mengikut perjalanan mod kempen dan berdasarkan maklumat daripada pembangun judul berkenaan, pemain perlu menghabiskan mod kempen lebih 20 jam permainan membabitkan pelbagai latar tempat.

Jika penulis ingin menggambarkan konsep permainan ini, ia lebih mirip kepada judul ‘Darksiders’, namun untuk sesetengah pertempuran, ia agak membosankan.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu judul yang gagal memandangkan masih terdapat beberapa aspek positif permainan ini seperti keupayaan grafik serta aksi pedang cahaya ditonjolkan.

Namun, bagi penulis, Star Wars Jedi: Fallen Order bukanlah naskhah permainan sempurna memandangkan konsep jalan cerita yang mudah untuk dijangka termasuk kombinasi aksi.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 10:06am
d