itmetro

Jaringan telekomunikasi 5G

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MENJELANG 2020, Malaysia akan mula melakukan demonstrasi jaringan telekomunikasi generasi kelima atau ‘5G’ secara besar-besaran merangkumi skala kepenggunaan yang lebih luas termasuk ujian peringkat industri serta komersial.

Ia akan menjadikan Malaysia antara negara terawal yang melancarkan sistem jaringan termaju di dunia dan membuka lebih banyak ruang kepada industri untuk memanfaatkan teknologi berkenaan.

Korea Selatan menjadi negara terawal yang melancarkan jaringan 5G berkenaan secara komersial dan keputusannya amat positif walaupun wujud beberapa masalah di peringkat awal.

Secara umumnya, teknologi jaringan 5G akan memberi capaian kelajuan sehingga 20Gbps, sekali gus memberi manfaat yang sangat besar kepada segmen industri.

Sebelum ini, saintis menghadapi kesukaran apabila sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik yang digunakan untuk memandu sesebuah kenderaan menghadapi masalah kelewatan penghantaran data dan ia tidak boleh dipraktikkan secara meluas.

Kewujudan jaringan 5G ini yang mempunyai ciri kurang data hilang dan kecepatan penghantaran data secara efektif membolehkan teknologi itu untuk dibangunkan secara meluas.

Jika pelancaran berkenaan mendapat maklum balas yang sangat baik, Malaysia berpeluang untuk menjadi negara Asia terawal menggunakan jaringan berkenaan untuk segmen industri seperti pemantauan keselamatan dan robotik.

Malaysia mengorak langkah apabila memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta ketika pembentangan Belanjawan 2020 dan ia adalah isyarat bahawa negara komited untuk merubah landskap industri secara keseluruhan.

Ia menjadikan Malaysia satu daripada negara paling awal di Asia Tenggara yang mengambil langkah pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi 5G berkenaan.

Kewujudan 5G bukan hanya menawarkan jaringan Internet berkelajuan tinggi sebaliknya membolehkan beberapa industri atau segmen lain beroperasi dengan lebih optimum.

Contoh, industri perladangan yang menggunakan pemetaan alat kawalan tanpa juruterbang atau dron boleh digunakan apabila ia menghantar siaran langsung kepada pusat kawalan berkaitan pemantauan serta pembenihan tumbuhan secara lebih efektif.

Segmen keselamatan juga menikmati faedah besar apabila pemantauan di kawasan sempadan boleh dilakukan menerusi dron atau kamera yang menghantar isyarat langsung dengan resolusi Definisi Ultra Tinggi (UHD) kepada pusat kawalan.

Pakar perubatan juga boleh melakukan pembedahan secara maya apabila kelewatan penghantaran data (Ping) mampu dikurangkan dengan penggunaan jaringan 5G.

Ini memberi gambaran kewujudan teknologi berkenaan bukan saja memberi faedah kepada pengguna dengan penawaran jaringan Internet kelajuan tinggi sebaliknya memberi ruang kepada industri dalam skala besar.

Langkah awal negara dalam pelaksanaan infrastruktur 5G akan menjadikan Malaysia antara negara rantau Asia Tenggara terawal yang mempunyai teknologi berkenaan selain Singapura.

Jaringan 5G ini membuka lebih banyak ruang kepada segmen industri yang selama ini agak terhad memandangkan halangan jaringan dan pastinya, negara akan mengorak langkah ke depan apabila pelaksanaan 5G secara komersial kelak.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 9:14am
d