itmetro

Setanding peranti premium

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ADAKAH anda seorang pengguna yang mementingkan keupayaan kamera serta kelicinan pemuka sistem operasi namun tidak mempunyai ‘bajet keras’ untuk membeli peranti kelas premium.?

Mungkin penulis boleh mencadangkan kepada pengguna untuk melihat peranti terbaru keluaran Samsung dalam kelas pertengahan iaitu Samsung Galaxy A50s.

Peranti berkenaan bukan saja menawarkan tanda harga mampu milik malah didatangkan keupayaan spesifikasi yang boleh disifatkan sebagai baik untuk kelas pertengahan.

Penulis merasakan bahawa segmen peranti pintar kelas pertengahan didominasi Samsung apabila syarikat berkenaan kerap melancarkan peranti mampu milik mereka sepanjang tahun ini.

Untuk Galaxy A50s, fokus utama naik taraf berbanding siri Galaxy A50 sebelum ini adalah lensa berkeupayaan 48 megapiksel yang mampu untuk merakam gambar dalam kualiti yang baik berbanding siri terdahulu.

Menyentuh aspek binaannya, tatkala penulis memegang peranti ini, ia dibina dengan begitu kukuh dan tidak nampak umpama peranti kelas pertengahan.

Spesifikasi peranti ini menggunakan pemproses Exynos 9611 dengan rekaan binaan 10nm bersama unit pemproses grafik (GPU) Mali G72.

Skrin peranti ini menggunakan 6.4 inci bersama paparan Super AMOLED dan turut menyokong resolusi 1080 x 2340 piksel bagi memberi pengalaman serta tona warna lebih baik.

Galaxy A50s didatangkan dengan beberapa variasi memori (RAM) bermula daripada padanan 4GB bersama storan 64 atau 128GB dengan RAM 4GB atau 128GB (6GB).

Samsung bijak menarik hati pengguna apabila peranti kelas pertengahan ini menggunakan tetapan tiga lensa yang mempunyai ciri berbeza untuk menghasilkan gambar yang baik.

Lensa utama berkeupayaan 48MP dengan sudut lebar manakala lensa kedua, 8MP sudut ultra lebar dan lensa ketiga berfungsi sebagai sensor kedalaman dengan keupayaan 5MP.

Kapasiti bateri dilengkapi 4,000mAh bersama kefungsian pengecas pantas 15W untuk memudahkan pengguna kerana tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama untuk bateri penuh.

Secara keseluruhannya, Galaxy A50s menawarkan spesifikasi yang sangat baik untuk peranti kelas pertengahan bersama keupayaan kamera yang boleh dibanggakan.

Pengguna yang tidak mempunyai bajet yang tinggi untuk memiliki peranti baharu boleh melihat Samsung Galaxy A50s yang menawarkan ciri-ciri yang hampir sama dengan peranti premium namun memiliki tanda harga mampu milik.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 9:18am
d