itmetro

Buka operasi di Bangsar

Oleh Muhammad Saufi Hassan

INDUSTRI kreatif terutama segmen pembangunan permainan di negara ini bakal lebih rancak apabila syarikat pembangun permainan tersohor berpangkalan di United Kingdom iaitu Double Eleven akan mengembangkan operasi studio kendaliannya pada suku pertama tahun ini.

Syarikat berkenaan mengumumkan perkara berkenaan hujung minggu lalu berhubung pembangunan studio miliknya yang beroperasi di Bangsar, Kuala Lumpur.

Studio berkenaan menyediakan kelengkapan penuh bersama keupayaan untuk beroperasi sebagai sebuah pusat pembangun permainan baharu di negara ini.

Pembangunan berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada tenaga pakar tempatan termasuk pereka muda yang mempunyai kecenderungan untuk membangunkan kreativiti dalam aspek animasi kreatif.

Pengasas Double Eleven, Lee Hutchinson berkata, Malaysia mempunyai kualiti bakat yang sangat mengagumkan dan ia antara kriteria utama syarikat berkenaan sebelum membuat keputusan untuk meluaskan lagi operasi studio berkenaan.

“Malaysia mempunyai ekosistem yang sangat baik dalam segmen ini dan ia juga didorong oleh inisiatif kerajaan negara berkenaan untuk merancakkan lagi segmen itu.

“Fasa ini adalah detik penting dalam menentukan hala tuju dan pengembangan berkenaan juga membolehkan bakat anak muda tempatan yang berkebolehan mempamerkan keupayaan serta kreativiti mereka.

“Kami sedang membina studio dengan elemen tempatan iaitu ‘Double Eleven’ versi Malaysia dan ia akan menjadi tempat yang hebat untuk bekerja,” katanya menerusi satu kenyataan media, baru-baru ini.

Lee berkata, pihaknya berharap untuk membentuk pasukan baru di Malaysia, sekali gus menjadi sebahagian daripada tenaga pembangun segmen permainan yang disegani.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bahagian Kandungan Digital Kreatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin berkata, negara banyak menghasilkan kandungan digital yang baik sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, ia turut membuka mata syarikat pembangun permainan luar untuk memilih Malaysia sebagai satu daripada jaringan studio mereka kerana ekosistem ekonomi yang positif serta ia mendapat dorongan daripada kerajaan.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:10am
d