itmetro

Huawei tawar peranti Mate 30 5G

Oleh Muhammad Saufi Hassan

HUAWEI Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelancaran variasi baharu untuk peranti Mate 30 yang dilengkapi dengan cip jaringan 5G sekali gus membuka peluang kepada pengguna untuk menikmati keupayaan jaringan generasi baharu berkenaan di negara ini.

Huawei Mate 30 Pro 5G akan dijual pada harga RM4,199 dan ia akan mula dijual pada Jumaat ini di rangkaian kedai konsep syarikat berkenaan termasuk penjualan daripada syarikat telekomunikasi Maxis, Celcom dan UMobile.

Peranti berkenaan dilengkapi dengan 21 antena secara keseluruhan manakala 14 daripada jumlah itu adalah antena 5G untuk memastikan pengguna dapat menikmati keupayaan jaringan itu secara maksimum.

Ia juga menggunakan pemproses Kirin 990 5G SoC yang turut menyokong jaringan 2G, 3G, 4G dan 5G untuk semua skala komunikasi.

Lebih menarik apabila Huawei turut menggunakan sistem kad sim kembar bagi peranti berkenaan iaitu menyokong sim 5G dan 4G serta pengguna boleh melakukan tukaran bergantung kepada keperluan.

Peranti berkenaan juga sudah membuktikan bahawa menerusi jaringan 5G yang menggunakan cip Kirin 990 SoC, Huawei Mate 30 Pro 5G menawarkan kelengahan (low latency) paling rendah dan jaringan ultra pantas.

Huawei Mate 30 Pro 5G dilengkapi dengan kapasiti bateri 4,500mAh yang membolehkan pengguna melakukan tugasan atau kepenggunaan telefon pintar secara maksimum.

Ia juga menggunakan pengecas konvensional berwayar dan tanpa wayar yang diiktiraf oleh TÜV Rheinland dan melakukan pengecasan tanpa wayar secara pantas.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 10:26am
d