itmetro

Farming Simulator 19 diberikan percuma minggu ini

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JIKA anda peminat permainan simulasi, jangan lepaskan peluang untuk membuat tuntutan secara percuma bagi judul Farming Simulator 19 menerusi platform penjualan permainan Epic Games sepanjang minggu ini.

Platform berkenaan menawarkan judul permainan simulasi pertanian berkenaan secara percuma minggu ini dan pengguna yang tidak mempunyai akaun dengan platform terbabit boleh melakukan pendaftaran segera serta membuat tuntutan.

Menyentuh aspek permainan Farming Simulator 19, pemain akan berpeluang membangunkan ladang pertanian sendiri berlatar belakangkan bentuk muka bumi Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.

Pemain berpeluang untuk menternak haiwan seperti ayam, lembu atau menunggang kuda malah permainan itu sesuai untuk pencinta permainan simulasi.

Judul berkenaan juga menawarkan keupayaan grafik yang sangat baik dan pastinya pemain tidak cepat untuk merasa bosan apabila melihat kesan terperinci butiran grafik yang ditonjolkan oleh pembangun judul berkenaan.

Pemain boleh memilih mod permainan antaranya karier, permainan dalam talian dan boleh memilih serta mengubah suai mod permainan mengikut citarasa sendiri.

Menerusi mod karier, pemain akan diberikan tiga pilihan utama iaitu ‘Petani Baru’, ‘Pengurus Ladang’ dan ‘Bermula dari awal’.

Ketiga-tiga pilihan berkenaan adalah berdasarkan kepada kemahiran pemain dan mereka yang baru pertama kali dicadangkan untuk memilih ‘Petani Baru’ kerana ia akan mengajar mekanik permainan berkenaan.

Pemain bukan saja perlu memikirkan soal keuntungan setiap ladang pertanian sebaliknya berpeluang untuk membawa sendiri jentera berat seperti mesin penuai serta beberapa mesin lain yang digunakan dalam industri berkenaan.

Secara keseluruhannya, Farming Simulator 19 sememangnya satu judul yang baik untuk peminat genre simulasi serta menawarkan keupayaan grafik yang sangat baik.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 12:59pm
d