itmetro

Operasi Void Edge ubah landskap Rainbow Six: Siege (R6S)

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERMAINAN taktikal popular, Rainbow Six: Siege (R6S) mengukuhkan kandungan permainan apabila memperkenalkan dua lagi operator baharunya sekali gus menjadikan diversiti permainan terbabit lebih kompleks.

Menerusi Operasi Void Edge untuk tahun kelima bagi R6S, dua operator diperkenalkan iaitu Oryx dan Iana yang mempunyai keupayaan khusus serta kelengkapan persenjataan.

Berdasarkan diversiti permainan berkenaan, operator tahun pertama iaitu Montagne yang membawa perisai penuh sering menjadi halangan utama kepada operator pertahanan, namun kali ini, Ubisoft mengubah landskap permainan dengan memperkenalkan Oryx.

Secara asasnya, Oryx adalah operator skuad khas daripada Jordan dan dilengkapi dengan dua keupayaan unik. Ia menjadikan operator pertama yang mempunyai dua keupayaan sejak R6S dilancarkan lima tahun lalu.

Oryx mampu melakukan terjahan pantas kepada dinding kayu termasuk operator penyerang dan ia direka khusus sebagai imbangan kepada Montagne yang sering menggunakan perisai penuh untuk berdepan lawan.

Selain itu, Oryx juga adalah operator pertama yang berkeupayaan untuk melakukan lompatan terus kepada lubang (hatch) sekali gus mengubah konsep pertahanan serta serangan pasukan.

Operator Iana pula dilengkapi dengan peralatan khusus dikenali ‘Gemini Replicator’ yang boleh menyerupai operator sebenar dan dikawal dalam tempoh 15 saat untuk membuat tinjauan sesuatu kawasan atau bilik.

Ia adalah kelebihan taktikal namun gajet khusus ini akan musnah jika ditembak oleh pasukan lawan. Operasi Void Edge akan dilancarkan secara menyeluruh pada 9 Mac depan dan kini ia boleh diakses menerusi pelayan cubaan.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 5:57pm
d